Anda di sini

Yayasan Sarawak buru juara PESAYA

Advertisement

63 peserta dihantar ke temasya di Sabah untuk menyertai kesemua 13 acara dipertandingkan

// Oleh Jessica Jawing //

 Adenan (barisan kedua, lima kiri) bersama Jamilah (barisan kedua, enam kiri) dan Azmi (barisan kedua, empat kiri) serta tetamu jemputan lain merakam kenangan bersama pasukan Yayasan Sarawak yang menyertai PESAYA Ke-12 2-16 di Sabah selepas acara penyerahan bendera kontinjen, semalam.

BUAT YANG TERBAIK: Adenan (barisan kedua, lima kiri) bersama Jamilah (barisan kedua, enam kiri) dan Azmi (barisan kedua, empat kiri) serta tetamu jemputan lain merakam kenangan bersama pasukan Yayasan Sarawak yang menyertai PESAYA Ke-12 2-16 di Sabah selepas acara penyerahan bendera kontinjen, semalam.

KUCHING: Yayasan Sarawak menyasarkan juara keseluruhan atau sekurang-kurangnya tiga emas dalam Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA) Ke-12 2016 yang diadakan di Sabah dari 10 hingga 19 November ini.

Pengerusi Kelab Yayasan Sarawak Easmawi Razak berkata, Sarawak akan menyertai kesemua 13 acara dipertandingkan termasuk Golf VIP dan Sukan Rakyat, iaitu lebih kepada pertandingan muhibah.

“Kita berharap dapat mencapai kejayaan sebagai juara keseluruhan pada PESAYA Ke-12 kerana dua tahun lepas semasa PESAYA di Johor kita melakukan yang terbaik dengan satu pingat perak iaitu dalam acara petanque sementara bola sepak dan karom masing-masing pingat gangsa.

“Pada kali ini, kita menyasarkan dapat mencapai tiga pingat emas dalam tiga acara yang kita rasakan boleh menyumbang pingat iaitu petanque, bola sepak dan karom, selain beberapa acara untuk pingat perak dan gangsa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Yayasan Sarawak daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak kepada Chef De Mission juga Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang di Pusat Pembangunan Yayasan Sarawak di sini, semalam.

Easmawi berkata, antara acara lain yang berpotensi menyumbang pingat ialah boling, yang mana pasukan kali ini dilihat lebih kuat.

“Pada sukan terakhir, Yayasan Sarawak berada pada kedudukan keenam daripada 13 pasukan dan kita berharap dapat mencapai emas pada kali ini selepas ada kemajuan di kalangan atlet, yang dianggotai 100 peratus kakitangan Yayasan Sarawak dan anak syarikat,” jelasnya.

Menurut Easmawi, pada pertandingan kali ini Sarawak menghantar 63 peserta atau atlet yang merupakan kontinjen ketiga terbesar selepas pasukan terbesar dari Johor dan diikuti Sabah.

Jelasnya, para peserta akan diiringi oleh lima pegawai termasuk pengarah, timbalan pengarah dan sebagainya.

“Ini juga merupakan kali ke-12 penyertaan kita dalam PESAYA yang diadakan dua tahun sekali dengan pencapaian terbaik kita ialah pada tahun 2003 semasa kita menjadi tuan rumah selepas dinobatkan naib juara pada acara yang diadakan di Samarahan.

“Pada kali ini PESAYA akan disertai 13 pasukan Yayasan Negeri termasuk daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan,” kata beliau.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu.

Advertisement