Anda di sini

Pelajari ilmu kebombaan di kawasan sukar dihubungi JBPM

Advertisement
 Gerawat (enam kiri) sambil disaksikan tetamu lain menyampaikan sijil dan alat pemadam api kepada peserta Program Summer Camp Tahun 2016 di Miri semalam.

GUNAKAN ILMU KEBOMBAAN: Gerawat (enam kiri) sambil disaksikan tetamu lain menyampaikan sijil dan alat pemadam api kepada peserta Program Summer Camp Tahun 2016 di Miri semalam.

MIRI: Penduduk kawasan luar bandar terutama di kawasan sukar dihubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu mempunyai ilmu kebombaan serta teknik memadam kebakaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri Mulu Datuk Gerawat Gala berkata, penting mempunyai kesedaran mencegah musibah berkenaan daripada berlaku serta mengetahui cara menanganinya dari peringkat awal.

Menurutnya, bomba mungkin tidak dapat sampai ke tempat kejadian dengan cepat disebabkan jarak perjalanan jauh serta akses jalan mungkin menyukarkan jentera bomba masuk memberi bantuan.

“Dalam situasi ini, tindakan awal penghuni dan penduduk kampung amatlah perlu bagi mengawal kebakaran supaya tidak merebak sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.

“Apa yang penting, penghuni rumah tahu tindakan perlu bagi mengelak dan ada mangsa terperangkap selain kehilangan harta benda lebih besar,” katanya.

Gerawat yang juga timbalan speaker DUN Sarawak berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Summer Camp Tahun 2016 anjuran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Sarawak dan Petronas Carigali Sdn Bhd semalam.

Melalui program itu katanya, peserta diberi pendedahan asas secara teori dan praktikal mengenai kaedah mencegah kebakaran serta apa yang perlu dilakukan jika berlaku kebakaran.

“Peserta diharap dapat menjalankan tanggungjawab menyebar luas ilmu serta pengajaran diperolehi dalam program ini kepada semua penghuni rumah panjang atau penduduk kampung masing-masing,” katanya.

Gerawat menarik perhatian bahawa terdapat peserta berjaya mengawal merebaknya api dalam kebakaran berlaku di rumah panjang mereka dengan adanya alat pemadam api dan kemahiran yang diperolehi dalam Program Summer Camp sebelum ini.

Antaranya ialah Rumah Johson Jangu yang terbakar sedikit pada November 2014, Rumah Jarek Kelambu juga berjaya diselamatkan dalam kebakaran pada 2014 dan 2015 serta Rumah Linggi Belajak pada Mei 2015.

“Ini merupakan indikator bahawa program Summer Camp dan program seumpamanya memberi impak amat baik dalam mengurang risiko kebakaran di samping dapat menyebar luas kesedaran keselamatan kebakaran ke peringkat akar umbi dalam masyarakat,” jelasnya.

Seramai 40 peserta terdiri daripada wakil rakyat, ketua masyarakat dan tuai rumah menghadiri kursus selama tiga hari itu yang bermula dari 31 Oktober hingga 2 November.

Objektif ia diadakan ialah untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat terhadap bahaya kebakaran khususnya penduduk kampung dan penghuni rumah panjang.

Kerajaan negeri jelas Gerawat, berterima kasih kepada kedua-dua agensi berkenaan terutama Petronas Carigali Sdn Bhd dalam menjayakan program ini untuk tahun ketiga berturut-turut di bawah program tanggungjawab sosial korporat syarikat.

“Sesungguhnya kerajaan amat menyokong usaha sebegini dan berharap agar ia dapat dilaksanakan lebih meluas khususnya di kawasan-kawasan yang terletak jauh dari lingkungan balai bomba,” jelasnya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau,Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Ali Bahudin, Residen Bahagian Miri Antonio Katigalis dan Pengurus Besar Kanan Sarawak Oil Aset Petronas Carigali Sdn Bhd Mohd Nazori Janor dan Ketua Zon, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Sarawak Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong.

Advertisement