Anda di sini

Kejohanan Muaythai Piala KM di Lundu dari 5 hingga 6 November ini

Advertisement
 Jumaat menerima Piala Pusingan Ketua Menteri daripada Adenan sambil disaksikan (dari kiri) Dr Ong, Hamsein, Shukarmin dan Kameri semasa mengadakan kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

PIALA REBUTAN: Jumaat menerima Piala Pusingan Ketua Menteri daripada Adenan sambil disaksikan (dari kiri) Dr Ong, Hamsein, Shukarmin dan Kameri semasa mengadakan kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

KUCHING: Kejohanan Muaythai Piala Ketua Menteri Sarawak Edisi Ke- 4 akan berlangsung di Lundu pada 5 dan 6 November ini sempena Pesta Lundu 2016.

Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim berkata kelab-kelab muaythai dari seluruh negeri Sarawak telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan tersebut.

Kejohanan itu, katanya, merupakan anjuran PMNS, Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti, Pejabat Daerah Lundu dengan kerjasama Jawatankuasa Pesta Lundu 2016, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan agensi berkaitan.

Menurut Jumaat, di samping mencungkil bakat baharu menerusi pertandingan tersebut, ia juga sebagai tanda terima kasih PMNS dan penggiat sukan itu di negeri ini kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem atas sokongan berterusan beliau.

“Kita amat bersyukur dan berterima kasih kepada beliau (Adenan) kerana sentiasa menyokong usaha kita untuk membangunkan sukan muaythai di Sarawak,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Adenan di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

Turut hadir, Residen Bahagian Kuching Shukarmin Chasemon, Pegawai Daerah Lundu Hamsein Atar, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti Kameri Affandi dan Pengarah MSNS Dr Ong Kong Swee.

Jumaat berkata, pertandingan sukan yang menguji ketahanan fizikal dan mental itu akan berlangsung pada Sabtu, dimulakan dengan regu amatur dan pada sebelah malam akan berlangsung kategori Pro 60 kilogram (kg) bagi merebut Piala Pusingan Ketua Menteri Sarawak.

Mengulas lanjut, jelasnya, turut menjadi tumpuan, kejohanan Piala Borneo 2016 yang merupakan lanjutan penganjuran edisi 2015 melibatkan penyertaan dari Sarawak, Sabah, Labuan dan Kalimantan Barat, Indonesia.

Sebanyak enam kategori perlawanan amatur akan dipertandingkan bagi merebut Piala Borneo 2016 dan perlawanan akhir bagi dua kejohanan itu akan berlangsung pada hari Ahad.

Advertisement