Anda di sini

BN bawa banyak pembangunan untuk rakyat Sabah: MIC Sabah

Advertisement

BN bawa banyak pembangunan untuk rakyat Sabah: MIC Sabah

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan pelbagai pembangunan untuk rakyat di Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, kata Pengerusi Badan Perhubungan MIC Sabah Datuk V. Jothiajaan.

Beliau berkata Sabah kini berkembang menjadi sebuah negeri makmur, aman dan stabil menerusi pendekatan dilaksana kerajaan BN.

“Kita lihat banyak perubahan telah berlaku pada masa ini, khususnya dari segi pembangunan dan ini membuktikan ketua menteri kita rajin, aktif dan boleh membawa banyak pembangunan kepada rakyat.

“Selain itu beliau (Musa) sentiasa prihatin dengan semua kaum di negeri ini termasuk India, walaupun kami merupakan kaum minoriti di negeri Sabah. Itulah yang kita mahukan… inilah cara kerajaan BN mentadbir negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Deepavali MIC Sabah 2016 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Likas, di sini semalam.  Lebih 4,000 masyarakat berbilang kaum dan agama menghadirinya.

Sehubungan itu, Jothiajaan menyeru semua kaum India di Sabah terus menyokong kerajaan BN yang memerintah pada masa ini.

“Kerajaan BN adalah kerajaan yang saksama dan adil… dalam Bajet 2017 kaum India turut tidak dilupakan dan telah diberi peruntukan yang banyak dan boleh digunakan untuk pelbagai perkara,” katanya.

Mengenai majlis rumah terbuka itu, beliau berkata kehadiran masyarakat pelbagai kaum ke majlis itu menunjukkan perpaduan dalam kepelbagaian di Sabah.

“Kita lihat majlis ini begitu meriah dan disambut dalam keadaan aman. Kita berterima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini (semalam),” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Musa, dan dua Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. — Bernama

Advertisement