Anda di sini

Torstein berjaya bawa SEB ke mata dunia: Dr Rundi

Advertisement
 Torstein (tiga kiri) menerima cenderamata daripada warga Sarawak Energy pada majlis tersebut.

INGAT KAMI DI SARAWAK: Torstein (tiga kiri) menerima cenderamata daripada warga Sarawak Energy pada majlis tersebut.

KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad (SEB) Datuk Torstein Dale Sjotveit berjaya membawa SEB ke mata dunia sejak berkhidmat di negeri ini selama tujuh tahun.

Menteri Kemudahan Awam Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, SEB yang dahulunya hanya merupakan syarikat pembekal tenaga tempatan, kini berkembang maju yang menyaksikan ramai pelabur asing datang ke negeri ini seperti di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Tujuh tahun satu tempoh yang singkat beliau bersama kita, tetapi dalam tempoh itu banyak yang telah beliau lakukan untuk SEB dan Sarawak.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau di atas sumbangan dan jasa beliau terhadap Sarawak, namun kita perlu terus maju ke hadapan dalam menyediakan kemudahan kepada rakyat negeri ini dengan lebih baik lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam perpisahan Torstein yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Selain itu, Dr Rundi memberitahu SEB bukan sahaja membangunkan kemudahan utiliti di negeri ini, malah membantu masyarakat luar bandar menerusi program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankannya.

“Anda boleh lihat apa yang SEB telah lakukan bukan sekadar membekalkan kemudahan elektrik tetapi menyediakan pembangunan yang selesa untuk rakyat Sarawak,” tambahnya.

Terdahulu, Pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi berkata, sejak Torstein berkhidmat di syarikat itu, banyak anugerah telah diterima SEB termasuk di peringkat antarabangsa.

“Di bawah kepimpinan Torstein, SEB telah menjadi sebuah organisasi antarabangsa, terima kasih saya ucapkan kepada beliau di atas sumbangan dan jasanya kepada Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu SEB Sharbini Suhaili memberitahu beliau akan terus memacu syarikat tersebut ke arah kejayaan yang lebih tinggi.

Pada majlis itu, Torstein sempat berkongsi kata-kata terakhir sebelum pulang ke negara asalnya di Norway, Rabu ini.

“Terima kasih di atas kepercayaan yang telah diberikan oleh kerajaan negeri kepada saya untuk memimpin SEB serta seluruh warga SEB yang telah bekerjasama dalam memajukan SEB. Sekiranya anda memerlukan pandangan, saya sedia berkongsi kepada anda pada masa akan datang,” ujarnya.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Elektrik dan Telekomunikasi Dr Abdul Rahman Junaidi, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli lembaga pengarah SEB lain.

Advertisement