Anda di sini

Pesta keramaian masih relevan dalam masyarakat

Advertisement

Oleh Mohamad Achil Norrlatep//

 Fatimah (depan) ketika menyempurnakan simbolik perasmian Pesta Besaug Edisi Ke-5 2016, semalam.

RASMI: Fatimah (depan) ketika menyempurnakan simbolik perasmian Pesta Besaug Edisi Ke-5 2016, semalam.

MUKAH: Pesta bersifat keramaian masih relevan dan signifikan dengan konteks kehidupan moden masa kini dalam pelbagai aspek.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah berkata, Pesta Besaug seumpamanya merupakan salah satu pesta yang banyak memberikan kesan positif terhadap masyarakat setempat dalam pelbagai lapisan.

“Salah satunya ialah kita menjaga warisan nenek moyang dan budaya yang diperturunkan kepada kita sehingga kini,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pesta Besaug Dalat Edisi Ke-5 2016 bertempat di Tebingan Sungai Dalat di sini, semalam.

Fatimah berkata, ia adalah warisan unik dan sesuai dengan persekitaran sehinggalah sekarang kerana kawasan berkenaan masih lagi dikelilingi dengan keindahan alam semula jadi seperti sungai.

“Bukan sahaja di Dalat, namun kita sebenarnya turut berkongsi warisan sepanjang Balingian, Mukah, Oya, Matu sehingga Daro,” jelasnya lagi.

Selain konteks warisan, katanya, pesta itu menjadi satu titik pertemuan yang sihat antara belia-belia dan mengeratkan lagi silaturahim sama ada dari jauh mahupun dekat.

“Dari aspek ekonomi pula, jika dilihat ia banyak membantu masyarakat ketika pesta dan keramaian seperti dalam Pesta Besaug ini,” kata beliau.

Pengetahuan para pengunjung juga dapat dipertingkatkan mengenai agensi-agensi serta jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat dalam pameran sepanjang pesta diadakan, katanya.

Fatimah turut memberitahu, Tebingan Sungai Dalat juga bakal dibangunkan untuk fasa seterusnya bukan sahaja kemudahan ketika Pesta Besaug, malah kemudahan belia melakukan aktiviti-aktiviti serta pertemuan sihat.

Jika tidak ada halangan, katanya, perancangan pembangunan fasa kedua itu akan bermula pada tahun 2017 dan dijangka siap dalam masa 18 bulan.

Pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Yussibnosh Balo diumum memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 bagi menjayakan penganjuran pesta terbabit.

Turut hadir ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen Mukah Awang Johari Awang Mustapha, Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak Datu Dr Adi Badiozaman Tuah dan Pegawai Daerah Dalat Kueh Lei Poh.

Pesta Besaug Dalat yang bertemakan ‘Je Ulo Jenaseng’ bermula pada 27 Oktober lalu dengan kemuncak acara berlangsung hari ini (30 November).

Advertisement