Anda di sini

Insentif pemangkin pelaburan

Advertisement

Oleh Mohd Shafik Ahmad//

 Naroden merakamkan gambar kenangan selepas menyempurnakan majlis perasmian Taman Zoriah di Jalan Matang, semalam. Turut bersama, Abang Helmi (dua kiri).

USAHAWAN TERUS DIBANTU: Naroden merakamkan gambar kenangan selepas menyempurnakan majlis perasmian Taman Zoriah di Jalan Matang, semalam. Turut bersama, Abang Helmi (dua kiri).

KUCHING: Syarikat Bumiputera Sarawak diharap terus berkembang dalam sektor hartanah yang berimpak tinggi di negeri ini.

Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri akan terus membantu golongan usahawan dalam mengembangkan kapasiti perniagaan mereka menerusi insentif kewangan yang disediakan.

Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan, Datuk Mohd Naroden Majais berkata bantuan diberikan sebagai pemangkin pelaburan oleh syarikat terlibat.

Menurutnya, dengan cara ini, sekali gus membantu proses meningkatkan dan mengembangkan perniagaan syarikat terutama dalam sektor hartanah.

“Kita mahu lihat lebih ramai usahawan, syarikat Bumiputera dalam sektor hartanah berimpak tinggi berkembang,” katanya ketika berucap merasmikan Taman Zoriah Fasa 1 serta Pelancaran Taman Zoriah Fasa 2 di Jalan Matang, semalam.

Naroden berkata menerusi program Dana Mudahcara oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), bantuan kewangan sebanyak 10 peratus atau 15 peratus dari keseluruhan kos yang layak diberikan.

Menurut beliau, TERAJU memperuntukkan sebanyak RM200 kepada syarikat Bumiputera Sarawak untuk mengembangkan perniagaan.

Naroden mendedahkan, peruntukan itu masih berbaki RM70 juta setakat ini dan peruntukan baharu berjumlah RM100 juta akan disalurkan pada tahun depan.

“Sejak ia (TERAJU) ditubuhkan di Sarawak pada 2012, sebanyak RM128 juta telah diluluskan kepada 45 syarikat Bumiputera Sarawak dengan kos projek berjumlah RM940 juta.

“Hasil insentif Dana Mudahcara itu, syarikat-syarikat Bumiputera Sarawak telah menyediakan lebih 1,700 peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Naroden yang hadir pada majlis pelancaran Taman Zoriah di Jalan Matang semalam sempat meninjau rumah teres dua tingkat yang dibangunkan syarikat Nursinar Development Sdn Bhd.

Menurutnya, syarikat pemaju tersebut juga telah mendapat bantuan Dana Mudahcara sebanyak RM1.2 juta bagi meringankan beban kewangan mereka.

Hadir sama, Pengerusi Nursinar Development Sdn Bhd, Datuk Abang Helmi Tan Sri Ikhwan.

Advertisement