Anda di sini

Harap dapat dana pendawaian semula sekolah tahun depan

Advertisement
 Fatimah (empat kanan) menyalakan lilin sebagai upacara simbolik perayaan Hari Deepavali di kediaman keluarga Lucy (tiga kiri) semalam.

RASMI: Fatimah (empat kanan) menyalakan lilin sebagai upacara simbolik perayaan Hari Deepavali di kediaman keluarga Lucy (tiga kiri) semalam.

KUCHING: Menteri Kebajikan Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah berharap peruntukan bagi pendawaian semula sekolah-sekolah di negeri ini akan disalur mulai tahun depan.

Beliau berkata demikian susulan insiden kebakaran Dewan Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) St Teresa di Jalan Tun Abang Haji Openg di sini lewat petang semalam.

“Di Sarawak setelah diperiksa, dilapor dan direkod Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) memang perlu melaksana pendawaian semula sekolah,” katanya sambil menambah ia dilakukan bagi mengelak kemalangan jiwa jika berlaku tragedi serupa.

Ia juga adalah bagi memastikan keselamatan bangunan dan pelajar serta warga kerja sekolah diberi perhatian khusus, katanya ketika ditemui selepas berkunjung ke kediaman Ahli Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak, Kapitan Lucy Lingam sempena sambutan Hari Deepavali di sini, semalam.

Fatimah semalam turut menyatakan hasrat melawat tempat kebakaran yang berjaya dikawal dan dipadam oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekitar jam 5.42 petang.

Keseluruhan bangunan musnah dijilat api dan dipercayai akibat lintar pintas namun tiada kemalangan jiwa dilapor.

Kata Fatimah, tragedi itu berlaku pada hari cuti sekolah dan beliau percaya tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Advertisement