Anda di sini

FAS beri kerjasama penuh

Advertisement

Oleh Harry Ilias//

ABDUL WAHAB

ABDUL WAHAB

KUCHING: Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abdul Wahab Rahim berkata persatuannya memberi kerjasama penuh kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memastikan penganjuran Piala Solidariti Malaysia Persekutuan Bola Sepak Asian (AFC) di sini berjalan dengan lancar dan berjaya.

Timbalan Presiden FAS itu juga melahirkan rasa bangga dengan pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah kejohanan berprestij tersebut.

“Kita (FAS) akan bekerjasama penuh dengan rakan strategik FAM untuk memastikan kelancaran dan kejayaan penganjuran kejohanan Piala Solidariti Malaysia mengikut kehendak AFC.

“Sudah tentunya kami (FAS) berasa amat berbangga dan gembira dengan pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah kerana dapat membantu merancakkan arena bola sepak tempatan,” katanya di sini semalam.

Menurut Abdul Wahab, inisiatif FAS menganjur kejohanan itu sebagai usaha memastikan penganjuran pelbagai kejohanan bola sepak pelbagai peringkat mencakupi komuniti, daerah, bahagian, negeri dan rantau Asia diadakan di sini.

Jelasnya, ini amat bertepatan dengan pelan pembangunan bola sepak negeri mahu memberi pendedahan kepada pemain-pemain tempatan memartabatkan mutu bola sepak di negara ini.

Pada masa yang sama, Abdul Wahab berkata kejohanan itu juga menjadi medan ujian kebolehupayaan FAS menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak bertaraf antarabangsa.

“Saya menyeru peminat-peminat bola sepak tempatan datang beramai-ramai memenuhi Stadium Negeri dan Stadium Sarawak sebagai tanda sokongan padu dan memeriahkan kejohanan itu,” katanya.

Piala Solidariti AFC Malaysia 2016 akan berlangsung dari 2 hingga 15 November ini disertai tujuh pasukan iaitu Brunei Darussalam, Timor Leste, Laos, Macau, Nepal, Sri Lanka dan Mongolia.

Bagaimanapun, Malaysia tidak menghantar penyertaan.

Nepal, Brunei Darussalam dan Timor Leste diundikan dalam Kumpulan A manakala selebihnya akan beraksi dalam Kumpulan B.

Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Sarawak dan Stadium Negeri, Petra Jaya di sini.

 

Advertisement