Anda di sini

Wakil institusi agama lahir penghargaan terhadap usaha martabatkan institusi

Advertisement

PUTRAJAYA: Tujuh wakil institusi agama Islam semalam menyatakan sokongan dan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas usaha berterusan kerajaan dalam memartabatkan institusi agama di negara ini.

Wakil-wakil daripada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Pondok, Tahfiz, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), imam, bilal dan siak seluruh negara menyerahkan memorandum kepada Najib di pejabatnya di Kompleks Perdana Putra di sini.

Najib menerima memorandum itu daripada Imam Masjid Jamiur Rahmah, Kampung Limau Manis, Sepang, Noor Azli Abdul Hamid.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha.

Memorandum yang ditandatangani tujuh wakil institusi agama itu mengakui bahawa kerajaan di bawah pentadbiran Najib terus komited dalam memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan.

Ia juga menyatakan dasar-dasar kerajaan berpandukan nilai-nilai Islam seperti Indeks Syariah Malaysia sehingga memperkasakan institusi agama bermula di peringkat bawah hingga ke peringkat atasan membuktikan usaha murni dan ikhlas kerajaan.

Memorandum itu juga menyatakan bahawa pembentangan Bajet 2017 membuktikan usaha kerajaan dalam membela dan mendukung institusi agama melalui pertambahan bajet sedia ada dan peruntukan bajet baharu bagi SABK, pondok, tahfiz, Guru Kafa, imam, bilal dan siak di seluruh negara.

“Semua pihak perlu mengiktiraf, menyatakan sokongan dan penghargaan atas segala usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan selama ini dalam memartabatkan institusi agama di negara ini.

“Usaha-usaha yang cuba dilakukan oleh segelintir pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mewujudkan persepsi negatif dan mempertikaikan usaha kerajaan memperuntukkan bajet kepada institusi agama Islam perlulah ditentang dengan sekeras-kerasnya,” katanya.

Sementara itu, Noor Azli berkata penyerahan memorandum itu bertujuan untuk melahirkan penghargaan dan sokongan terhadap kerajaan yang komited  menyediakan infrastruktur dan peruntukan, khususnya dalam Bajet 2017 bagi melaksanakan program berteraskan nilai-nilai murni.

“Perdana menteri juga menyatakan (kepada kami) bahawa usaha-usaha kerajaan adalah berterusan dalam memartabatkan syiar Islam di negara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kuala Lumpur (PINTA) Ustaz Mohd Zahid Mahmood berkata peruntukan RM30 juta bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara membuktikan kerajaan komited untuk memartabatkan institusi pengajian tahfiz di negara ini.

“Adalah menjadi harapan saya, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara menjadi  wadah untuk membantu sekolah-sekolah tahfiz di seluruh negara, termasuk sekolah tahfiz swasta, persendirian, rakyat atau kerajaan. Terima kasih banyak atas peruntukan yang besar ini untuk institusi tahfiz,” katanya. — Bernama

Advertisement