Anda di sini

Permit buru buaya, penduduk tempatan diutama

Advertisement

Kebenaran buru buaya liar dimuktamadkan selepas perbincangan akhir agensi kerajaan, kementerian

Oleh Florence Nervyn //

SIBU: Pemberian permit pemburuan buaya diutamakan kepada penduduk tempatan selepas kebenaran aktiviti pemburuan reptilia dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Sapuan Ahmad berkata 13 sungai dikenal pasti mencatat populasi buaya tinggi di negeri ini dengan purata 14 ekor setiap kilometer.

“Antara sungai mempunyai kepadatan buaya ialah Batang Sadong, Batang Lupar dan Sungai Salak. Setakat ini, kita menganggarkan kira-kira 20,000 ekor buaya liar seluruh negeri,” katanya ditemui pemberita menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 JHS di sini malam kelmarin.

Sapuan memberitahu, kebenaran pemburuan buaya liar akan dimuktamadkan selepas perbincangan akhir mengenainya dijalankan oleh agensi kerajaan dan kementerian berkaitan.

Mengulas mengenai kaedah pengawalan pemburuan, Sapuan berkata ia dilaksanakan menerusi sistem 60:40 dengan enam daripada 10 ekor buaya liar dibenarkan diburu.

“Pemburu boleh memburu mengikut cara mereka suka termasuk menggunakan senjata api ataupun menggunakan mata kail. Ini terpulang kepada mereka.

“Fokus diberikan kepada kawasan berpopulasi tinggi dahulu bagi mengurangkan kes serangan buaya di lokasi panas,” jelasnya.

Sapuan berkata, daging buaya dijual dengan harga RM38 sekilogram di pasaran dan harga kulit pula boleh mencecah ribuan ringgit.

“Mereka yang berminat memburu buaya perlu mencari pembeli bagi produk daging dan kulit buaya terlebih dahulu sebelum mula memburu.

“Adalah satu kerugian jika tiada pembeli dan buaya hanya dibiarkan menjadi bangkai tanpa pulangan ekonomi kepada pemburu,” ujarnya.

Sementara itu, pada majlis yang sama beliau melancarkan ‘Hotline JHS’ dan menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 kepada seramai 72 kakitangannya.

Mengenai ‘Hotline JHS’, Sapuan berkata ia beroperasi 24 jam memudahkan orang ramai melaporkan aduan aktiviti pembalakan haram di negeri ini.

“’Hotline’ beroperasi 24 jam dengan kakitangan JHS akan melayan aduan berkaitan perhutanan pada waktu pejabat manakala setiap aduan selepas waktu pejabat dirakam dan diberikan maklum balas pada keesokan hari.

“Justeru, saya menyeru orang ramai supaya menghubungi talian ‘hotline JHS’ 1-800-88-7777 jika ingin membuat aduan berkaitan kegiatan pembalakan haram dan perhutanan,” katanya.

Hadir sama pengerusi bersama jawatankuasa pengelola merangkap Pemangku Timbalan Pengarah Hutan II Sarawak, Hamden Mohammad dan Pegawai Hutan Wilayah Sibu JHS, Dr Bolhan Budeng.

Advertisement