Anda di sini

Polis adakan sekatan 24 jam

Advertisement
 Polis sedang mengadakan sekatan jalan di simpang Ulu Sungai Arip.

SEKATAN: Polis sedang mengadakan sekatan jalan di simpang Ulu Sungai Arip.

Tiga lelaki ditahan di Simpang Ulu Sungai Arip semalam

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Polis telah menahan tiga lelaki dalam satu sekatan jalan bagi tujuan pencegahan jenayah di Simpang Ulu Sungai Arip semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata, tangkapan itu dibuat bagi tujuan dokumentasi keselamatan dan mengelak kejadian tidak diingini terjadi.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki tersebut yang berumur antara 32 dan 40 tahun kemudian dibebaskan semula selepas kenyataan mereka diambil.

“Kami akan terus mengadakan sekatan jalan di kawasan berkenaan selama 24 jam sebagai langkah berjaga-jaga,” jelasnya berikutan insiden meragut nyawa Fabian Janti Lebau, 26, di Ladang Ulu Sg Arip petang Isnin lalu.

Sehubungan itu, katanya polis mengambil berat keselamatan orang ramai dan polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja melanggar undang-undang.

Beliau turut mengulangi kenyataan dikeluarkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berhubung isu warga netizen gemar menviralkan berita palsu.

“Tindakan suka memviralkan berita palsu boleh menimbulkan keresahan orang ramai selain menyebabkan kegusaran serta menggugat ketenteraman awam,” jelasnya.

Beliau menasihati golongan netizen yang mempunyai kumpulan aplikasi WhatsApp supaya tidak berkongsi maklumat tidak betul terutama berkaitan insiden berdarah di Sungai Arip itu.

“Kita tidak mahu maklumat tidak sahih diedarkan seperti pisang goreng panas akan menimbulkan provokasi kelak,” tegasnya sambil menambah, pihak polis sentiasa memantau perkara tersebut.

Beliau meluahkan rasa lega dengan perkembangan terkini kes Sungai Arip susulan penangkapan 22 orang termasuk 10 penduduk rumah panjang dan 12 lelaki di Miri petang semalam.

Jimmy berharap kes ini dapat diselesaikan sehingga ke muka pengadilan dan mereka yang bersalah akan menerima hukuman setimpal

Advertisement