Anda di sini

Jumlah 1.6 juta penjawat awam masih relevan

Advertisement

Jumlah ini dilihat besar kerana termasuk guru, tentera dan polis

Oleh Rusnan Mustafa //

KOTA SAMARAHAN: Jumlah penjawat awam di negara ini iaitu 1.6 juta orang masih lagi dilihat relevan dan sesuai.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal yang memberitahu, jumlah tersebut dilihat besar kerana ia termasuk bilangan guru, tentera dan polis.

“Jumlah penjawat awam 1.6 juta bagi saya masih lagi jumlah yang sesuai untuk negara ini,” katanya pada sesi soal jawab sempena Syarahan Perdana Transformasi Perkhidmatan Awam di Arena Gemilang DeTAR PUTRA Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.

Zabidi menjelaskan tidak seperti di negara maju lain, tentera termasuk warga pendidik tidak dimasukkan dalam jumlah penjawat awam.

“Ia nampak besar kerana jumlah tentera, guru dan polis termasuk dalam jumlah penjawat awam di negara ini,” tambahnya.

Soalan tersebut disuarakan Pensyarah Kanan UNIMAS Dr Jeniri Amir yang menyatakan adakah jumlah 1.6 juta penjawat awam bersesuaian dengan jumlah penduduk di Malaysia iaitu 30 juta.

Berkaitan integriti penjawat awam, Zabidi menjelaskan bahawa ia bergantung kepada individu itu sendiri kerana pelbagai usaha telah kerajaan laksanakan dalam memerangi jenayah tersebut di negara ini.

Terdahulu dalam syarahannya, beliau menegaskan bahawa terdapat sembilan cabaran yang perlu ditangani oleh perkhidmatan awam untuk melaksanakan transformasi.

Jelasnya, sembilan cabaran itu ialah pemusatan kuasa yang keterlaluan, kerenah birokrasi yang masih berakar umbi, hirarki pelaporan yang ketara, kompetensi strategik yang tidak mencapai standard dan tahap mentoring dan ‘coaching’ yang rendah.

Manakala empat lagi cabaran katanya, kesukaran untuk keluar dari zon selesa, kurang responsif dan kurang peka, tembok silo yang masih menebal dan jangkaan rakyat yang semakin meningkat.

“Mengambil sembilan cabaran ini sebagai asas memulakan agenda transformasi serta menggabungjalinkan pendekatan ‘outside-in’ saya telah menggagaskan apa yang dinamakan sebagai Kerangka Transformasi Jabatan Perkhidmatan Awam (KTJPA).

“Kerangka yang saya sifatkan sebagai enjin penggerak keseluruhan inisiatif transformasi di JPA ini mengasaskan lima teras strategik iaitu Mendaya Upaya Bakat, Merekayasa Organisasi, Merakyatkan Penyampaian Perkhidmatan, Merangkum dan Sepunya serta Membudaya Nilai,” katanya.

Justeru, beliau memberitahu bahawa KTJPA itu seterusnya diperluaskan di setiap peringkat agensi, kementerian dan jabatan di negara ini.

Hadir sama pada syarahan perdana itu semalam, Pro Canselor UNIMAS Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Mohd Zuki Ali, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Datu Dr Hatta Solhi, Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan tetamu kehormat lain.

Advertisement