Anda di sini

K’jaan komited dalam sokong inisiatif BIMP-EAGA

Advertisement
 Masing menerima cederamata daripada Liow semasa menghadiri Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Menteri Pengangkutan BIMP-EAGA Ke-11 di Kuching, kelmarin.

PENGHARGAAN: Masing menerima cederamata daripada Liow semasa menghadiri Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Menteri Pengangkutan BIMP-EAGA Ke-11 di Kuching, kelmarin.

Peranan besar BIMP-EAGA turut beri kesan kepada perkembangan negeri terutama aspek ekonomi

Oleh Mohd Shafik Ahmad //

KUCHING: Kerajaan negeri komited dalam menyokong inisiatif Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) kerana peranannya yang besar turut memberi kesan kepada perkembangan negeri terutama aspek ekonomi.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata kerjasama erat serantau mampu membuka peluang pelaburan selain menarik pelabur berpotensi ke negeri ini.

“Kami amat komited menyokong inisiatif semasa serta projek-projek yang dirancang untuk beberapa tahun akan datang.

“Malah kami turut mengalukan kerjasama sektor awam dan swasta serta profil pelaburan dalam Koridor Ekonomi BIMP-EAGA,” katanya.

Masing berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menghadiri Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Menteri Pengangkutan BIMP-EAGA Ke-11 di sini, semalam.

Beliau berkata Sarawak akan terus berusaha menjadikan BIMP-EAGA sebagai jentera yang berkesan dalam meningkatkan pertumbuhan menerusi perkongsian yang bersepadu dan teratur.

Mengulas lanjut, Masing berkata pembangunan di negeri ini berkembang pesat menerusi pertumbuhan ekonomi hasil daripada perhubungan dua hala.

“Perhubungan ini tidak hanya merangkumi jalan raya, kereta api, udara dan laut tetapi juga hubungan dalam dan luar sub-rantau.

“Malah ia terdiri daripada mekanisme institusi untuk memudahkan pergerakan serta meningkatkan aktiviti perdagangan, pelaburan dan pelancongan,” jelasnya.

Menurutnya, elemen itu amat penting terutama dalam BIMP-EAGA yang sentiasa menekankan dan menggalakkan aspek perhubungan bagi meningkatkan infrastruktur fizikal melibatkan rangkaian pengangkutan yang menyediakan kemudahan perjalanan.

Justeru, beliau menjelaskan tentang projek Lebuh Raya Pan Borneo yang kini sedang berjalan dan bakal menjadi penghubung utama serta memainkan peranan utama untuk membuka koridor ekonomi dalam kawasan yang dilalui.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Komunikasi Brunei Darussalam Dato Awang Mustappa Sirat, Setiausaha Rendah Pengangkutan Filipina Felipe Judan, Setiausaha Agung Kementerian Pengangkutan Republik Indonesia Sugihardjo dan Setiausaha Agung Kementerian Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Advertisement