Anda di sini

Tumpu usaha tingkatkan pengeluaran makanan menerusi Bajet 2017

Advertisement

Bajet 2017 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 21 Oktober lalu dilihat akan memperkasakan sektor pertanian dan industri asas tani negara selain memberi manfaat besar kepada rakyat pada masa akan datang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

Menurutnya, antara sasaran yang diletakkan menerusi peruntukan yang diberikan adalah untuk meningkatkan bahan pengeluaran makanan agar kebergantungan negara terhadap produk yang diimport dapat dikurangkan.

“Dalam konteks negara pada hari ini, pihak kementerian mesti bersedia untuk menerima realiti bahawa bajet ini sangat menuntut perbelanjaan berhemah tetapi pada masa sama harus memenuhi tanggungjawab untuk memastikan negara ini terjamin dari segi bekalan makanan agar rakyatnya hidup makmur dan tidak ada yang kelaparan,” katanya kepada wartawan Utusan Borneo dalam sesi temu bual khas di Putrajaya baru-baru ini.
Untuk tujuan itu, Ahmad Shabery berkata, peruntukan Bajet 2017 dilihat dapat membantu meningkatkan pengeluaran bekalan makanan menerusi salah satu usaha iaitu menumpukan keupayaan keusahawanan.

“Melahirkan 3,000 usahawan agropreneur muda adalah merupakan satu aspek yang penting kerana dengan meningkatkan jumlah usahawan dalam negara ini berkait rapat dengan pengeluaran makanan.

“Begitu juga TEKUN sebagai satu agensi yang digunakan untuk memberikan kemudahan kredit makro terutama sekali kepada golongan usahawan kecil. Jumlah peruntukan TEKUN dinaikkan daripada RM200 juta kepada RM300 juta dengan tambahan RM100 juta khususnya untuk membantu golongan tersebut memajukan perniagaan mereka di atas skim baru TemanNita,” jelasnya.

Ahmad Shabery berkata, meskipun peruntukan yang diberikan kurang sedikit berbanding tahun lalu, ia bagaimanapun menuntut kementerian untuk menjadi lebih efisien dalam penggunaan bajet tanpa menjejaskan keperluan makanan negara.

“Keseluruhan bajet yang diterima adalah RM4.4 billion yang mana daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM1.35 juta adalah untuk pembangunan manakala selebihnya kira-kira RM3.05 juta adalah untuk pengurusan.

“Ini cabaran kita (pihak kementerian) dan saya tidak akan akan berkompromi dalam soal ini kerana akhirnya yang penting bekalan makanan adalah mencukupi. Sasaran-sasaran sebelum ini misalnya pengeluaran beras dahulu hanya 50 peratus tetapi sekarang sudah meningkat kepada 72 peratus dan kita mesti mengekalkan atau menambah lagi keupayaan dalam menghasilkan beras,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, kementerian turut berupaya menghasilkan produk tenusu berkualiti tinggi sekiranya peruntukan bajet yang diberikan digunakan untuk membangunkan baka lembu yang sesuai dengan iklim Malaysia.

“Dahulu misal kata kita mahu tambah bekalan susu, kita kena beli banyak lembu tenusu dari luar negara tetapi kali ini kalau kita beli daripada luar keupayaan lembu itu untuk hidup dalam iklim negara, ia suatu cabaran sekali gus menyebabkan haiwan itu tidak mampu mengeluarkan hasil yang diinginkan.

“Pun begitu, jika kita guna bajet ini bagi membangunkan baka lembu yang sesuai dengan iklim negara, pastinya ia mampu menghasikan kualiti produk tenusu berkualiti tinggi. Apa yang perlu dilakukan adalah bangunkan baka bersesuaian supaya kita dapat menghasilkan produk dikehendaki,” ujarnya.

Ahmad Shabery turut memetik kata-kata Perdana Menteri dalam ucapan beliau yang menyebut secara spesifik untuk membangunkan keupayaan dalam mengeluarkan susu lembu dalam negara kerana ia adalah antara sasaran dalam menjadikan negara berdikari dari segi makanan dan negara memiliki keupayaan untuk menghasilkan  makanan berkualiti sendiri seperti susu segar.

“Bagi saya, agenda mempunyai keupayaan menghasilkan susu segar yang berkualiti adalah satu kemestian yang mesti dibangunkan pada masa depan dan melalui bajet ini, ia akan membantu kita sedikit sebanyak.

“Contohnya bagi usahawan yang mengusahakan ternakan tenusu di Bandar Muazam Shah, Pahang ataupun di Negeri Sembilan, mereka terpaksa membawa susu lembu untuk diproses di Johor tetapi kalau ada sistem yang baik, kita boleh buka sebuah loji untuk mereka untuk mendapatkan susu segar yang diproses.

“Jadi melalui bajet ini, kementerian akan cari jalan untuk membina lebih banyak pusat-pusat memproses susu dan ini adalah antara perkara yang penting supaya daripada situ projek tenusu itu dapat dibekalkan dengan segera,” ulasnya.
Dalam perkembangan mengenai pembangunan industri pengeluaran madu kelulut pula, Ahmad Shabery berkata, negara berupaya memajukannya sebagai produk ‘superfood’ untuk dieksport ke negara-negara lain di serata dunia.

“Madu ini dikatakan adalah produk negara yang bermutu kerana diketahui mempunyai kandungan antioksida 10 kali ganda lebih tinggi daripada madu biasa dan permintaannya agak tinggi. Ini adalah satu sistem ternakan mudah, tidak memerlukan kos tinggi dan perlukan teknik yang betul sahaja.

“Saya rasa ini perlukan peruntukan untuk membina pusat-pusat bagaimana untuk menghasilkan madu kelulut berkualiti tinggi. Pun begitu, ia hanya boleh diternak di negara beriklim tropika dan tidak banyak daripada kawasan ini mampu memajukannya sebagaimana Malaysia,” ujarnya.

Mengulas tentang pembangunan industri tanaman jagung bijirin sebagai projek perintis  di Terengganu dan Kedah pula, Ahmad Shabery Cheek berkata, ia dilihat bakal membina suatu sektor baharu yang cukup penting dalam mengurangkan kebergantungan import makanan haiwan ternakan.

“Sekiranya berjaya, projek ini akan dibawa ke dua buah negeri tersebut kerana di sana mempunyai kawasan tanah yang luas.  Percubaan di Terengganu dan Kedah ini untuk menunggu hasil dan selepas mendapat hasil yang berkualiti baru kita teruskan,” katanya.
Sebagai kesimpulan, Ahmad Shabery melihat bahawa Bajet 2017 menuntut kementeriannya untuk menjadi lebih kreatif dan efisien dan dalam masa sama mencari ruang-ruang baharu bagi meningkatkan keupayaan negara menghasilkan makanan dan pendapatan yang lebih.

“Akhirnya apa yang disebutkan jaminan keselamatan makanan berasaskan kepada tiga faktor iaitu keupayaan rakyat untuk membeli atau mendapatkan makan, akses rakyat pada makanan dan makanan yang selamat serta berkualiti.

“Jadi melalui pertanian lebih ramai orang dapat meningkatkan pendapatan mereka. Saya yakin dan percaya bajet ini mampu mengubah masa depan rakyat,” katanya.

Apa Kata Mereka

Usahawan Tenusu, Azmi Zainal

Ketua Pengarah Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd, Azmi Zainal.
Ketua Pengarah Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd, Azmi Zainal.

Ketua Pengarah Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd, Azmi Zainal, berkata syarikatnya adalah sebuah syarikat yang terbabit dengan aktiviti pembakaan, penternakan lembu tenusu, pemprosesan, pengeluaran dan pemasaran produk tenusu. 

“Kilang kami memproses lebih kurang 1.35 juta tan susu sebulan bersamaan dengan 39 peratus daripada setiap 10 botol yang dibeli di pasar raya. 4 botol datangnya dari jenama kami iaitu Farm Fresh dan ini membuktikan kepada pengguna bahawa susu mentah tempatan jauh lebih baik dari susu import.

“Namun begitu,sehingga hari ini kita masih tidak dapat menampung permintaan yang ada dalam industri tenusu. Dari situ kita boleh lihat potensi pasaran tenusu ini sangat luas dan besar. kalau kita boleh bangunkan industri ini , negara mampu mengurangkan import produk berasaskan tenusu ini. Ini adalah ada satu potensi yang besar untuk kita menerokai bidang ini tetapi dengan cara cara yang betul dan teknologi yang bersesuaian serta kepakaran yang ada.

Melihat pada pembentangan bajet 2017, saya mengucapkan jutaan terima kasih pada kerajaan khususnya kementerian pertanian kerana usaha mereka memperkasakan industri tenusu,”

“Ini merupakan berita baik bagi usahawan seperti kami kerana pihak menteri telah melihat projek sebelum ini yang telah kita buat buat boleh menjadi satu model yang boleh digunapakai untuk kita lestarikan di masa akan datang sekaligus memberi impak hasil dalam negeri dan menyediakan makanan berkhasiat pada generasi akan datang,”katanya
 
Usahawan Cili Fertigasi, Norhashim Kamisan 

Pengurus Pemasaran Pewaris Bumi Hijau, Norhashim Kamisan.
Pengurus Pemasaran Pewaris Bumi Hijau, Norhashim Kamisan.

Pengurus Pemasaran Pewaris Bumi Hijau, Norhashim Kamisan, pula, dia mula berkecimpung dalam industri pertanian cili fertigasi ini pada umur 22 tahun di atas dorongan daripada rakan sebaya.

“Melihat daripada keuntungan yang dia perolehi dalam setiap minggu dengan hanya mengusahakan pertanian cili fertigasi, saya berminat untuk menceburi bidang ini dengan hanya bermodalkan rm4500. Keluasan cili yang saya ada sekarang adalah sebanyak 12 ekar dan keseluruhan kawasan itu saya menanam cili fertigasi yang mana saya fokus pada cili merah.

“Biasanya pengeluaran untuk ladang saya sahaja adalah seminggu (3 kali penuaian) iaitu sebanyak 600 kilo hingga 700 kilo sekali penuaian dan anggaran sehari paling tinggi saya dapat 1.8 tan metric,”

“Saya juga bergerak secara berkumpulan  dengan tujuan memenuhi permintaan pasaran sebab penananam cili ini juga bermusim, oleh itu saya memerlukan usahawan yang lain untuk memastikan bekalan cili ini sentiasa ada. Bermula dari 5 orang, kini kumpulan ini telah mencecah hingga ke 300 usahawan cili fertigasi yang aktif,”

“Buat masa sekarang ada enam negeri yang menyertai kami iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan Perak. Untuk masa sekarang, pasaran yang kami fokuskan adalah  kebanyakkannya di Selangor sahaja namun begitu ianya masih tidak cukup untuk permintaan bekalan yang sedia ada”

“Sehubungan itu pada tahun hadapan, kumpulan kami menyasarkan sebanyak 25% pengeluaran cili merah dengan tujuan supaya kami dapat mengimbangkan kemasukan cili import terutamanya dari Vietnam,”katanya.⁠⁠⁠⁠
 
Usahawan Bijirin Jagung, Chua Kim Aik 

Ketua Pegawai Eksekutif Green World Genetic Sdn Bhd, Chua Kim Aik.
Ketua Pegawai Eksekutif Green World Genetic Sdn Bhd, Chua Kim Aik.

Ketua Pegawai Eksekutif Green World Genetic Sdn Bhd, Chua Kim Aik berkata beliau amat gembira dan menyambut baik pembentangan Bajet 2017 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang peruntukan jagung bijirin yang akan menjadi asas kepada makanan ayam dan haiwan ternakan lain.
         
“Ini adalah kali pertama kita mendapat peruntukan untuk industri ini dan saya rasa ini merupakan salah satu industri yang penting kerana belum lagi dibangunkan secara langsung,”
        
Kita mengimport sebanyak 3 juta tan jagung setiap tahun dan ini merupakan masa yang sesuai untuk kita menghasilkan jagung kita sendiri dan sekaligus menjadikan kita mampu bersaing dengan negara luar yang menghasilkan jagung,”
           
“Kami akan memastikan kami membangunkan benih yang betul walaupun projek ini mengambil masa tetapi ia sudah menunjukkan permulaan yang baik,”
        
“Sebagai pembekal utama benih jagung ini, kami melihat pembangunan industri tanaman jagung bijirin sebagai projek perintis di Terengganu dan Kedah dilihat bakal membina suatu sektor baharu yang cukup penting,”katanya.

  • oleh
  • Advertisement