Anda di sini

Syarikat senarai awam antara penaja gerakan guling k’jaan

Advertisement

Hipokrit kerana pada masa sama menagih kontrak kerajaan

KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat senarai awam antara syarikat yang dikenal pasti terlibat menaja gerakan mengguling kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau menyifatkan syarikat berkenaan sebagai hipokrit kerana pada masa sama menagih kontrak kerajaan.

“Ada antara syarikat terlibat adalah syarikat senarai awam. Tak salah hendak taja siapa sahaja tetapi jangan rayu atau minta kontrak dengan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah LIFE@WORK anjuran Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) di sini semalam.

Ditanya identiti syarikat terlibat, Abdul Rahman berkata: “Ada dalam kepala saya. Saya tidak akan dedahkan.”

Dalam kenyataannya kelmarin, beliau berkata syarikat yang menaja perhimpunan atau demonstrasi seumpama itu akan disenarai hitam daripada mendapat kontrak kerajaan.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) turut diarah menyemak latar belakang syarikat yang memohon kontrak kerajaan melalui mereka.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman, yang bertanggungjawab ke atas EPU, memberitahu pemberita bahawa bagi syarikat penaja gerakan gulingkan kerajaan  yang telah mempunyai kontrak dengan kerajaan, kontrak mereka akan disemak semula untuk tindakan selanjutnya.

Beliau turut menasihati syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya tidak menda-patkan khidmat firma guaman yang secara langsung memberi khidmat atau kepimpinan kepada pihak yang hendak menjatuhkan kerajaan.

“Ada syarikat guaman se-cara terang-terangan memberi khidmat dan kepimpinan kepada gerakan ini. Kita nasihatkan jangan ambil syarikat guaman ini jadi panel syarikat,” katanya.

Mengulas perkara sama pada majlis lain di sini, Abdul Rahman berkata  tindakan menyenarai hitam itu bukan ugutan tetapi peringatan supaya syarikat yang benar-benar berminat bekerjasama dengan kerajaan menjauhi gerakan menjatuhkan kerajaan secara haram.

“Sebab itu saya katakan pada mereka yang mendapat kontrak kerajaan selepas itu menyokong (gerakan) BERSIH untuk menumbangkan (kerajaan), bagi saya ini tidak masuk akal.

“Jadi saya nak bagi tahu kepada syarikat kat luar sana sama ada nak buat bisnes dengan kerajaan dan menjadi berkecuali, atau anda nak sokong sebuah gerakan untuk menjatuhkan negara dan kerajaan secara haram.

“Ia pilihan anda. Saya tidak akan berurusan dengan anda. Terdapat banyak syarikat yang lebih baik di luar sana… saya akan beri keutamaan kepada mereka,” tegasnya. — Bernama

Advertisement