Anda di sini

Impian IEM/SJN ungguli Liga K LSC 2016 tidak kesampaian

Advertisement

KUCHING: Impian IEM/ SJN merampas carta teratas Liga Kuching LSC 2016 tidak kesampaian selepas dikejutkan dengan kekalahan 2-0 pada perlawanan menentang AXIS FC di Padang D, Petra Jaya semalam.

Kedua-dua skuad mempamer aksi seimbang pada separuh masa pertama dan masing-masing mempunyai peluang untuk menjaringkan gol awal.

Namun keadaan padang yang becak akibat hujan merencatkan pergerakan penyerang kedua-dua pasukan untuk memburu gol awal.

Aksi babak kedua tetap sama dengan kedua-dua skuad masih buntu mencari gol.

Nasib lebih memihak Axis FC apabila Shahfitri Salim muncul wira dengan meledak dua gol pada minit ke-65 dan 87.

Kedudukan itu kekal hingga tamat masa perlawanan.

“Syukur dengan kemenangan ini dan syabas kepada pemain selepas memastikan kami berjaya beroleh tiga mata penuh. Kami bermain mengikut pelan yang telah dirancang.

“Saya harap prestasi seperti ini dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya,” ujar Ketua jurulatih Axis Shahrizan Sahari semalam.

Axis akan meneneruskan kempen menentang KSK Satok pada 23 Oktober (Ahad) di Padang D.

Sementara itu, Petra Giant terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas carta liga selepas mencatat kemenangan ketiga membenam Al Malizia 2-0 pada perlawanan berlangsung di Padang C, Petra Jaya.

Skuad itu kini mengumpul 12 mata dengan hanya berbaki satu perlawanan untuk dilalui, menentang APM FC pada Sabtu ini (22 Oktober) di Padang C.

Gol-gol Petra Giant dijaringkan oleh Mohd Hafiz Abu Bakar (penalti minit 31) dan Awang Rifa’at Hisyam (minit 65).

“Alhamdulillah dapat meraih tiga mata berharga pada perlawanan semalam. Pemain menunjukkan kesungguhan untuk menambah jaringan dan mengasak kubu lawan,” kata Pengurus Pasukan Petra Giant Nazrul Hayat semalam.

Advertisement