Anda di sini

Produk berasaskan kayu dieksport perlu sumber sah: Awang Tengah

Advertisement

KUCHING: Kerajaan negeri mengambil langkah ketat bagi memastikan kayu dan produk berasaskan kayu dieksport datang dari sumber yang sah.

Justeru, Menteri Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai delegasi Sarawak dalam lawatan rasmi ke Jepun bermula 16 hingga 21 Oktober ini.

Semasa di Jepun, kerajaan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Perkayuan Sarawak menganjurkan program pertama Sarawak ‘Timber Legality Verification System Seminar’ di Tokyo, semalam.

Seminar yang sama akan diadakan di Osaka hari ini.

Awang Tengah dalam ucapannya berkata kerajaan negeri memandang serius mengenai peraturan yang sangat ketat mengenai produk diimport ke Jepun.

“Saya ingin memberi jaminan produk kayu yang dieksport melalui pengesahan sistem dan menepati undang-undang,” katanya.

Beliau memberitahu, peserta bahawa pegawai-pegawai dari Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Jabatan Hutan dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) akan membentangkan empat kertas kerja dalam seminar itu.

Para penceramah yang membentangkan kertas kerja tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Datu Sudarsono Osman, Timbalan Pengarah I Jabatan Perhutanan Sarawak Jack Liam, Timbalan Pengarah II Jabatan Perhutanan Sarawak Hamden Mohammad dan Timbalan Pengurus Besar SFC Zolkipli Aton.

Awang Tengah berkata, Jepun menjadi rakan perdagangan Sarawak sejak 1950-an, justeru kekal sebagai pasaran penting bagi Sarawak untuk kayu, produk petroleum, petroleum mentah, gas asli cecair dan lada.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri mahu mengekalkan hubungan lama itu dalam membina keyakinan dan kepercayaan standard dan keperluan masing-masing.

Pada 2015, eksport Sarawak ke Jepun dicatatkan pada RM2.6 bilion (AS$618 juta) yang menyumbang 39 peratus daripada jumlah pendapatan eksport Sarawak RM6.6 bilion (AS$1.6 bilion).

Beliau diiringi Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi.

Turut hadir Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Pertanian Malcom Mussen Lamoh, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Malaysia ke Tokyo Hendy Assan dan Setiausaha Kehormat STA, Dato Henry Lau.

Advertisement