Anda di sini

Sukan mampu mempertingkat jati diri murid-murid, kata Idris

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Aktiviti kokurikulum seperti sukan tahunan yang dianjurkan setiap sekolah merupakan kesinambungan dalam mempertingkat jati diri murid-murid selain bidang akademik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Datuk Idris Buang berkata murid-murid akan berasa lebih tercabar dengan penglibatan mereka secara serius dalam pelbagai bidang sukan.

Menurutnya, penglibatan murid-murid dalam acaraacara sukan tidak terhalang jika mereka dengan semangat penuh yakin pada diri sendiri mempamerkan kebolehan serta menyerlahkan bakat masing-masing.

“Saya yakin murid-murid mampu menghadapi setiap cabaran dan halangan dalam pelbagai bidang termasuk acara sukan sekiranya mereka mempersiap diri dengan ilmu serta kebolehan masing- masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kejohanan Olahraga Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Ibnu Khaldun Kota Samarahan di Stadium Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini kelmarin.

Hadir sama Guru Besar SK Agama Ibnu Khaldun, Rosli Terhim dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Agama Ibnu Khaldun, Datuk Rozalix Edi Wahab serta ibu bapa.

Menurut Idris, temasya sukan sekolah merupakan landasan terbaik untuk mencungkil bakat muridmurid dalam pebagai bidang sukan.

Malah, katanya, keterserlahan bakat yang dibuktikan oleh murid-murid pada temasya sukan mampu diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

“Saya percaya dengan bakat-bakat dan kebolehan yang dibuktikan mampu melahirkan atlet-atlet yang berwibawa dari sekolah ini sekali gus menaikkan nama Bahagian Samarahan,” katanya.

Sebanyak empat buah rumah sukan iaitu Ibnu Taimiyyah (Merah), Ibnu Batutah (Kuning), Ibnu Sina (Hijau) dan Ibnu Khaldun (Biru) berentap pada temasya itu.

Beberapa acara larian dilangsungkan seperti 50 meter, 70 meter, 100 meter, 200 meter, 4 X 50 meter, 4 X 70 meter dan 4 X 100 meter melibatkan murid-murid lelaki dan wanita tahun satu hingga enam.

Terdahulu dalam acara perasmian, kontinjen Ibnu Khaldun dinobatkan juara perbarisan lintas hormat bagi rumah sukan diikuti Ibnu Sina (naib juara) manakala Ibnu Batutah dan Ibnu Taimiyyah masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

Sementara bagi unit beruniform, juara disandang kontinjen Puteri Islam diikuti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) naib juara manakala Pengakap dan Pasukan Kadet Remaja masingmasing menduduki tempat ketiga dan keempat.

Hadiah pemenang-pemenang acara perbarisan lintas hormat disampaikan oleh Idris disaksikan oleh Rosli dan Rozalix.

Advertisement