Anda di sini

PGA rampas rokok seludup bernilai hampir setengah juta ringgit

Advertisement

Oleh Jeremy Lanson

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak berjaya merampas 18,000 karton rokok jenama Premium dan rokok putih dianggarkan bernilai hampir mencecah RM500,000 dalam dua serbuan berasingan semalam.

Komander Briged Sarawak SAC Khaw Kok Chin berkata kedua-dua serbuan dilakukan di Jalan Kuching-Serian iaitu di sebuah bangunan kedai di Batu 11 dan sebuah rumah di Taman Stella 2, Batu 12 iaitu sekitar jam 4 petang hingga 10.30 malam.

Menurutnya, dua lelaki tempatan berusia 40 dan 62 tahun ditahan dalam serbuan tersebut dibawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17 (b) Akta SPRM kerana cuba menawarkan wang suapan.

"Serbuan pertama iaitu di sebuah bangunan kedai di Batu 11 berjaya merampas 10,850 karton rokok berjenama Premium yang dianggarkan bernilai RM325,500 (sebelum cukai).

"Manakala dalam serbuan kedua iaitu di sebuah rumah di Taman Stella 2 berjaya merampas 7,150 karton rokok putih dianggarkan bernilai RM156,000 (sebelum cukai)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PGA, di sini pagi tadi.

Tambahnya, risikan dan pemantauan ke atas kedua-dua lokasi tersebut dibuat selama lebih kurang sebulan sebelum operasi penguatkuasaan dibuat.

"Operasi ini merupakan kejayaan terbesar yang melibatkan tangkapan rokok untuk tahun 2016," katanya.

Turut sama dalam operasi tersebut ialah pegawai dan anggota SPRM Putrajaya.

Advertisement