Anda di sini

Pengawai Bernama nyaris maut besi hempap kereta

Advertisement
 Khairul Annuar melihat keretanya yang mengalami kerosakan akibat ditimpa besi pembinaan bangunan ketika hendak keluar di hadapan Wisma Bernama semalam. — Gambar Bernama

ROSAK: Khairul Annuar melihat keretanya yang mengalami kerosakan akibat ditimpa besi pembinaan bangunan ketika hendak keluar di hadapan Wisma Bernama semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) nyaris maut apabila sebatang besi sepanjang kira-kira dua meter dari kawasan projek pembinaan kondominum di sebelah Wisma Bernama di Jalan 1/65 A, Off Jalan Tun Razak di sini, menghempap bahagian belakang keretanya semalam.

Pengurus Unit Sistem Pengurusan Kualiti, Khairul Annuar Abd Majid, 47, berkata besi itu, yang dipercayai daripada sebuah kren di dalam kawasan pembinaan itu, terjatuh dan menghempap bahagian cermin belakang kereta Honda HR-V yang dibelinya dua bulan lepas.

Katanya insiden kira-kira jam 3.30 petang itu berlaku ketika beliau baharu sahaja memandu melepasi pos pengawal keselamatan Bernama untuk menghadiri satu mesyuarat di luar.

“Saya rasa jika saya memandu lewat lagi tiga saat tadi (semalam), mungkin nyawa saya melayang…saya amat terkejut dengan apa yang berlaku.

“Ketika ini, saya masih menunggu pengurusan Bernama untuk membuat laporan polis berhubung kejadian ini kerana difahamkan beberapa prosedur perlu diambil terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang meminta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mengambil tindakan terhadap syarikat pembinaan terbabit.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku. Saya telah hubungi pemaju projek ini sebentar tadi (semalam) untuk memaklumkan perkara ini dan meminta semua kerja pembinaan dihentikan serta-merta sehingga siasatan dilakukan oleh jabatan berkenaan.

“Sementara itu, kami akan berbincang dengan peguam mengenai tindakan yang boleh diambil dari segi undang-undang,” katanya.

Beliau juga meminta pihak berkuasa supaya mengarahkan syarikat pemaju itu supaya mengalihkan kedudukan kren berkenaan bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.

Azman turut mengarahkan Bahagian Pengurusan Harta Bernama menutup sementara pintu masuk utama Wisma Bernama dan membuka pintu kedua, yang terletak menghadap bangunan Perpustakaan Negara Malaysia, sebagai laluan alternatif untuk keluar masuk ke premis pertubuhan berita itu. — Bernama

Advertisement