Anda di sini

Carta aliran mantapkan SOP menangani keganasan terhadap wanita, kanak-kanak

Advertisement

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti akan tampil dengan carta aliran bagi memantapkan lagi prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak di negeri ini.

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata melalui carta aliran tersebut, ia akan membantu menyalurkan maklumat kepada mangsa-mangsa keganasan untuk tampil membuat laporan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

“Kita mahu mangsa-mangsa keganasan lebih berani tampil membuat laporan dan pada masa sama meningkatkan perkhidmatan agensi berkaitan supaya lebih cepat, cekap dan tepat dalam menangani kes-kes yang dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Lab Permuafakatan Dalam Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak di Damai Beach Resort dekat sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Noriah Ahmad dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar.

Menurut Fatimah, carta aliran tersebut adalah dihasilkan sempena Lab Permuafakatan Dalam Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak yang diadakan pada 15 hingga 17 Oktober lepas dengan disertai 31 peserta daripada 14 agensi yang berkaitan.

Beliau menambah, sejurus dipersetujui di semua peringkat agensi, carta aliran tersebut akan dicetak dalam bentuk risalah untuk diagihkan kepada pemimpin-pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi.

Selain itu, katanya ia juga akan dicetak dalam bentuk banting dan diletakkan di setiap agensi dan jabatan yang berkaitan bagi membolehkan lebih ramai orang tahu mengenai bantuan yang disediakan untuk membantu mangsa keganasan rumah tangga khususnya wanita dan kanak-kanak.

“Tujuan kami memperkenalkan carta aliran ini adalah kerana masih ramai mangsa keganasan tidak berani tampil membuat laporan atas sebab takut, malu dan trauma.

“Ini kerana, kebiasaannya mangsa keganasan akan diugut oleh pelaku dan itu menyebabkan mereka terpaksa berdiam diri.

“Maka itu, kami mahu mewujudkan kesedaran kepada mangsa-mangsa keganasan ini supaya berani tampil membuat laporan dengan memberi jaminan bahawa mereka akan dibantu,” katanya.

Advertisement