Anda di sini

Fahami perbezaan antara konsep takaful dengan insurans konvensional

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perkembangan industri takaful di Malaysia pada awal tahun 1980-an ialah hasil daripada desakan keperluan umat Islam pada ketika itu untuk mempunyai alternatif kepada insurans konvensional yang memenuhi kehendak Syariah serta bagi melengkapkan operasi Bank Islam yang ditubuhkan pada tahun 1983.

Rentetan daripada itu, bilangan pengendali takaful mula berkembang dan bertambah pada setiap tahun. Masyarakat mula mencari dan berminat untuk menyertai takaful bagi menggantikan insurans. Bagaimanapun, terdapat sesetengah pandangan masyarakat yang masih menganggap sistem takaful adalah sama seperti insurans dalam menyediakan perkhidmatan perlindungan apabila berlaku sebarang musibah atau kemalangan.

Hakikatnya secara dasar terdapat perbezaan di antara kedua-duanya. Berdasarkan kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaaan pada tahun 1972 yang memutuskan bahawa insurans hayat dalam bentuk yang ada ialah suatu kontrak yang tidak sah kerana mempunyai unsur-unsur riba, gharar (ketidaktentuan) dan maisir (perjudian).

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan wujudnya unsur-unsur yang tidak patuh syariah di dalam sistem takaful, maka telah dilaksanakan konsep tabarru’ bagi menghapuskan unsur-unsur riba, gharar, dan maisir. Tiga unsur inilah yang telah menyebabkan insurans konvensional difatwakan sebagai haram.

Di dalam pelaksanaan takaful, konsep tabarru’ diaplikasikan sebagai suatu bentuk derma ikhlas yang diberikan oleh satu pihak sahaja dengan tidak meminta pertukaran atau balasan daripada pihak yang lain. Ia dikategorikan sebagai kontrak satu pihak (unilateral) di mana cukup dengan hanya satu pihak sahaja yang melafazkan sesuatu pemberian tanpa ada sebarang pertukaran.

Konsep ini adalah berbeza dengan kontrak insurans di mana kontrak insurans menggunakan sistem jual beli di antara syarikat insurans dan pembeli polisi. Di sini wujudnya pertukaran di antara kedua-dua pihak yang berkontrak iaitu di antara syarikat insurans sebagai pihak yang menjual perlindungan dan pencarum sebagai pembeli.

Jika diperhalusi, Takaful adalah sistem ‘saling menjamin’ yang berteraskan konsep kerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling membantu di kalangan pesertanya. Ianya boleh dijelaskan sebagai satu penyertaan sekumpulan individu dalam satu skim yang membolehkan mereka bekerjasama dalam menanggung sebarang kemudharatan yang berlaku terhadap salah seorang ahli yang ditimpa musibah atau kemalangan. Sumbangan yang diberikan oleh peserta akan dimasukkan ke dalam sebuah dana yang dikenali sebagai dana Tabarru’ yang akan digunakan untuk mana-mana peserta yang ditimpa musibah tersebut.

Sebagai kesimpulan, masyarakat bukan sahaja akan mendapat perlindungan yang patuh syariah malah berpeluang untuk melakukan kebaikan serta memberikan manfaat diri dan juga masyarakat seluruhnya.

Penyertaan takaful merupakan salah satu cara dan langkah berhemat yang bertujuan memastikan diri sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang musibah yang melanda. Pengurusan risiko yang bijak akan memastikan kesejahteraan diri dan juga khususnya kepada waris yang ditinggalkan supaya ahli waris tidak terbeban apabila sesuatu musibah berlaku.

Advertisement