Anda di sini

Tiga pemandu salah guna lorong kecemasan didenda RM3,500

Advertisement

REMBAU: Tiga pemandu yang dikesan menggunakan lorong kecemasan di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di daerah ini semasa Ops Hari Raya lepas, didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Tan Chai Wei menjatuhkan hukuman denda RM1,500 kepada Noraine Ahamad, 59, dan RM1,000 masing-masing kepada Norhafizah Abdul Majid, 36, serta Chan Hua Wei, 29, selepas mereka mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, Noraine dari Melaka yang memandu kenderaan pelbagai guna, didakwa memandu dan memotong di lorong kecemasan di KM 232 PLUS arah utara pada jam 11.35 pagi 30 Jun lepas.

Chan dari Perak pula didakwa melakukan kesalahan sama di KM 227.4 PLUS arah utara kira-kira jam 1.45 petang 10 Julai lepas manakala Norhafizah yangberalamat di Bahau dekat sini juga didakwa melakukan perbuatan itu di KM 225 arah selatan pada 16 Julai lalu kira-kira jam 3.21 petang.

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut semasa Ops Hari Raya yang dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara 30 Jun hingga 16 Julai lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1959 yang memperuntukkan denda hingga RM2,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan kes dilakukan Pegawai Pendakwa JPJ Mazlan Mohmad Shah manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain itu, JPJ turut mengeluarkan waran tangkap terhadap lima pemandu yang gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan itu dan pertuduhan terhadap mereka dijangka akan dibuat pada 4 Jan depan. — Bernama

Advertisement