Anda di sini

Tawar gaji setimpal dengan kemahiran, elak pekerja mahir kerja di negara jiran

Advertisement
 Rahamat (kiri) diiringi Ismail (dua kiri) beramah mesra dengan para graduan selepas Merasmikan Program Temu Duga Terbuka Kerjaya Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Selatan 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Baharu, semalam. — Gambar Bernama

PERASMIAN PROGRAM: Rahamat (kiri) diiringi Ismail (dua kiri) beramah mesra dengan para graduan selepas Merasmikan Program Temu Duga Terbuka Kerjaya Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Selatan 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Baharu, semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Syarikat-syarikat di Johor khususnya di Iskandar Malaysia digalakkan mempertimbangkan memberi gaji yang setimpal dengan kemahiran dan pengalaman pekerja bagi memastikan mereka kekal bekerja di negara ini.

Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Rahamat Bivi Yusoff berkata langkah itu juga bagi mengelakkan pekerja tempatan yang mahir dan berpengalaman ‘lari’ ke negara jiran kerana ditawarkan gaji yang lebih lumayan.

Dengan gaji yang setimpal, ia boleh menarik minat lebih ramai rakyat tempatan yang berkemahiran dan berpengalaman dalam bidang tertentu bekerja di negara ini, kata beliau.

“Apabila syarikat pertimbangkan beri gaji lebih baik, kita sekaligus mengalakkan pekerja berkerja di Johor,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Temu Duga Kerjaya Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa, di sini semalam.

Rahamat Bivi berkata pekerja profesional dan mahir selalu berada dalam dilema untuk memilih pekerjaan dan terpaksa memilih antara gaji yang lumayan dan bekerja dalam negara sendiri.

Beliau berkata kadar pengangguran di kalangan graduan yang kini hampir  empat peratus melebihi kadar pengangguran sedia ada iaitu 3.5 peratus, diharapkan dapat dikurangkan, menerusi pelbagai usaha termasuk menerusi SL1M.

Rahamat Bivi berkata kebanyakan besar daripada 92,000 yang mengikuti SL1M sejak diperkenalkan pada 2011 telah berjaya mendapatkan pekerjaan.

Program SL1M selama dua hari mulai hari ini, turut menyediakan lebih 10,000 peluang pekerjaan di 120 syarikat berkaitan kerajaan yang mengambil bahagian dalam program itu. — Bernama

Advertisement