Anda di sini

Pengasuh Taska perlu miliki diploma pengurusan awal kanak-kanak: Rohani

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meletak syarat pengasuh bagi Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) perlu memiliki sekurang-kurangnya diploma dalam pengurusan pendidikan awal kanak-kanak.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ia bagi memastikan pengasuh mempunyai pengetahuan dan mencapai kualiti untuk mengasuh kanak-kanak di bawah umur tiga tahun.

“Di negara maju, pengasuh kanak-kanak di bawah tiga tahun memang dilatih secara profesional dan tahap pendidikan minimum mereka mestilah diploma.

“Sebelum ini Kementerian Pendidikan telah membincangkan perkara ini, tetapi hanya melibatkan prasekolah. Kali ini kita mahu pengasuh Taska juga mempunyai diploma sebagai kelayakan utama,” katanya kepada pemberita.

Beliau mengadakan Dialog Bersama Menteri bertajuk ‘Wawasan Baharu Ke Arah Pembangunan Masyarakat’ di Institut Sosial Malaysia di sini semalam.

Dalam ucapan perasmiannya, Rohani berkata keperluan bagi memastikan pengasuh Taska memiliki diploma merupakan usaha kerajaan untuk mendapatkan acuan terbaik dalam mendidik kanak-kanak.

“Kanak-kanak di peringkat umur tiga tahun ke bawah memerlukan pendidikan awal berkualiti daripada pengasuh berkemahiran bagi mencorak masa depan negara,” katanya.

Dialog julung kali itu akan diteruskan dengan lapan lagi siri bersama penyertaan menteri daripada pelbagai kementerian lain sehingga Disember tahun depan.

Ia bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai isu sosial semasa negara, merangsang percambahan minda dan perkongsian idea dalam memahami cabaran sosial semasa serta meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab masyarakat. — Bernama

Advertisement