Anda di sini

Letupan bom: Penganggur dan operator kilang tukar pengakuan

Advertisement

PETALING JAYA: Seorang penganggur dan operator kilang semalam menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas sembilan pertuduhan berhubung kejadian letupan bom di pusat hiburan Movida di Puchong, Jun lalu.

Imam Wahyudin Karjono, 20, dan Jonius Ondie @ Jahali, 24, menukar pengakuan mereka selepas kes itu disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azwarnida Affandi.

Mahkamah menetapkan 14 Nov untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam manakala Imam Wahyudin diwakili peguam Fareida Mohd dan Wong Kar Fai manakala Jonius diwakili peguam Aaron Mark Pius.

Pada 25 Julai lalu, Imam Wahyudin dan Jonius mengaku bersalah atas lapan pertuduhan membaling dan meletupkan bom tangan yang menggunakan fius lever jenis ‘Fuze M213’ dan telah menyebabkan kecederaan terhadap lapan mangsa.

Mereka didakwa dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu akan menyebabkan kematian ke atas mangsa atas cubaan membunuh dan perbuatan itu telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Mereka dituduh melakukan perbuatan tersebut di pusat hiburan Movida Boulevard Sdn Bhd, Lot G2 & G3, Tingkat Bawah, IOI Boulevard, Jalan Kenari 5, Bandar Puchong Jaya, Puchong pada kira-kira jam 2 pagi, 28 Jun lalu mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh turut didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu memiliki bersama bahan letupan iaitu sebutir bom tangan yang menggunakan fius lever jenis ‘Fuze M213’ secara menyalahi undang-undang di tempat dan pada masa dan tarikh sama.

Imam Wahyudin dan Jonius didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan sehingga enam kali.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana mereka juga menghadapi pertuduhan lain di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Imam Wahyudin dibawa ke Penjara Kajang manakala Jonius Ondie dibawa ke Penjara Sungai Buloh. — Bernama

Advertisement