Anda di sini

Jambatan Batang Lupar mula dibina tahun depan

Advertisement

 Rohani (tengah) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama dengan ahli Biro Wanita Rumah Panjang berkenaan semasa berlangsungnya program berkenaan.

ABADIKAN KENANGAN: Rohani (tengah) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama dengan ahli Biro Wanita Rumah Panjang berkenaan semasa berlangsungnya program berkenaan.

SRI AMAN: Pembinaan Jambatan Batang Lupar dijadual tahun hadapan dilihat bakal membawa sinaran baharu kepada pembangunan kawasan Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, bermulanya pembinaan jambatan ini nanti membuka lebih banyak pembangunan kawasan Triso serta Sebuyau.

“Kita berharap jambatan ini dapat dilaksana bermula tahun hadapan kerana ia bukan sahaja membuka pembangunan kawasan berkenaan tetapi juga memendek perjalanan penduduk kawasan di Triso, Maludam, Beladin serta penduduk berdekatan untuk ke Kuching,” ujarnya.

Beliau  juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Pusat Wakil Rakyat Parlimen Batang Lupar bertempat di Rumah Nyuin, Tawang Tengah, Tanjung Bijat di sini semalam.

Menurutnya, pembinaan Jambatan Lupar merupakan projek jambatan tersebar di kawasan Batang Lupar selepas siapnya Projek Jambatan Batang Sadong yang beroperasi bulan Oktober ini dan dijangka  dirasmi pada bulan ini juga.

“Mewakili penduduk di Batang Lupar, kita merakam ucapan ribuan terima kasih kepada kerajaan persekutuan terutama Perdana Menteri kerana meluluskan Projek Pembinaan Jambatan Batang Lupar sebelum ini.

“Inilah keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat dan semua pembangunan dilaksana kerajaan sekarang ini kebanyakannya tertumpu kepada kawasan luar bandar,” katanya.

Jelasnya,  kerajaan mahu melihat rakyat kawasan luar bandar membangun atau seimbang serta rakyat hidup senang seperti rakyat kawasan bandar.

Justeru, beliau amat mengharap sokongan semua rakyat agar lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan dikawasan luar bandar selepas ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh serta ketua ketua jabatan kerajaan yang lain.

Rohani turut mengumum peruntukan masing-masing berjumlah RM3,000 kepada JKKK dan Biro Wanita Rumah Nyuin untuk tujuan menjalankan aktiviti sepanjang tahun.

Advertisement