Anda di sini

Sarawak mohon potongan cukai dua kali produk asas kayu, rotan dilanjut 10 tahun

Advertisement

KUCHING: Sarawak memohon potongan cukai dua kali bagi produk-produk berasaskan kayu dan rotan dilanjutkan bagi tempoh 10 tahun.

Selain lanjutan potongan cukai, Sarawak juga memohon kayu gergaji dan veneer turut dimasukkan dalam insentif ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ketika ini, Sarawak menikmati potongan cukai dua kali bagi bayaran pengangkutan bagi eksport rotan dan produk-produk berasaskan kayu.

Bagaimanapun, insentif ini, katanya, akan ditarik balik dan tidak lagi dapat digunakan berkuat kuasa dari penilaian tahun 2016.

“Kami berharap kerajaan pusat akan terus menyediakan potongan cukai dua kali ini dan dilanjutkan bagi tempoh 10 tahun untuk menjadikan Sarawak lebih kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Townhall Bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed di Hotel Imperial di sini semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar turut memohon kepada kerajaan pusat untuk melanjutkan insentif potongan cukai dua kali ke atas bayaran premium insurans bagi import/eksport kargo yang berinsurans dengan syarikat insurans tempatan.

Antara lain yang dicadangkan oleh Awang Tengah di hadapan Menteri MITI semalam ialah membenarkan syarikat Sarawak untuk menuntut insentif elaun pelaburan semula sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun serta akses kepada peruntukan.

“Ketika ini, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutama di kawasan luar bandar berhadapan dengan sambungan Internet yang lemah dan tercicir daripada peruntukan kerajaan.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya peruntukan tertentu disimpan untuk PKS di Sarawak bagi memastikan PKS di negeri ini terutama mereka yang beroperasi di kawasan luar bandar dapat menikmati faedah yang sama,’’ katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Awang Tengah berkata Sarawak mempunyai 43,830 PKS di seluruh negeri atau 97 peratus daripada jumlah perniagaan di negeri ini.

Berikutan infrastuktur yang kurang memuaskan, katanya, kos untuk menjalankan perniagaan di Sarawak adalah tinggi dan PKS di negeri ini perlu berusaha gigih untuk merapatkan jurang pembangunan.

Jika isu-isu ini dapat ditangani dengan baik, Awang Tengah yakin PKS di Sarawak  akan dapat bergerak setanding dengan rakan-rakan di Semenanjung Malaysia.

Turut hadir pada sesi taklimat itu semalam, Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan Datuk Mohd Naroden Majais dan Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Pelaburan dan Promosi Datuk Julaihi Narawi.

Advertisement