Anda di sini

Sarawak berpotensi jadi peneraju industri biomass

Advertisement

Oleh Jessica Jawing//

 Uggah (tiga kanan) bersama Nancy (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU yang termeterai antara Do Young Seung wakil GS Caltex dan Aishah (dua kanan) mewakili BRR, semalam.

PERSEFAHAMAN: Uggah (tiga kanan) bersama Nancy (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU yang termeterai antara Do Young Seung wakil GS Caltex dan Aishah (dua kanan) mewakili BRR, semalam.

KUCHING: Sarawak merupakan salah satu negeri utama mempunyai potensi besar menjadi peneraju dalam industri biomass bernilai tinggi pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, ia diperkukuh lagi melalui Pelan Pembangunan Industri Biomass Sarawak (SBIDP) diterajui Unit Perancangan Negeri (SPU), Jabatan Ketua Menteri.

“Berdasarkan kajian sebelum ini, Sarawak mempunyai potensi menjana RM4.8 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) melalui manfaat biomassnya dengan mewujudkan 35,000 pekerjaan baharu hijau.

“Selain RM18 bilion peluang pelaburan dalam keseluruhan rantaian nilai biomass. Cadangan membekalkan pelbagai stok makanan ternakan biomass dan penubuhan infrastruktur daripada industri sedia ada mengukuh lagi industri ini,” katanya.

Beliau berkata empat kluster dianggap tapak berpotensi untuk pembangunan industri berkenaan pada masa depan adalah Miri, Bintulu, Tanjung Manis dan Kuching.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya dibaca Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggas Embas sempena Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara GS Caltex (GSC), iaitu dari Korea bersama Biomass Renewable Resources (BRR) dan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) di sini, semalam.

MoU berkenaan bertujuan menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan Komersial Bagi Pembangunan Loji Biobutanol 2G di Sarawak dibawah SBIDP dan pertukaran dokumen MoU diwakili pihak berkaitan.

Adenan berkata, empat kluster berpotensi mempunyai biomass kelapa sawit tinggi seperti buah tandan kosong selain pelepah kelapa sawit serta sisa kayu hasil tuaian.

“Kami yakin bahawa pembangunan industri biomass boleh membantu mengurangkan kebergantungan negeri kepada bahan api fosil dan meningkatkan keupayaan kita menghadapi ketidaktentuan ekonomi global secara mapan.

“Selain itu menyumbang secara positif ke arah matlamat Sarawak untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030,” katanya.

Adenan berkata Sarawak mempunyai potensi mempunyai biomass yang mencukupi untuk menyokong loji bio bahan bakar (biofuel) dan biokimia pada 10 tahun pertama dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Sehubungan itu Sarawak mengalu-alukan minat dan usaha syarikat terkemuka Korea, iaitu GS Caltex yang merupakan loji penapisan petroleum terbesar di republik itu.

“Projek ini satu pencapaian penting dalam SBIDP, dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia  sebagai sebahagian daripada Inisiatif di bawah Strategi Biomass Negara 2020 (NBS 2020),” katanya.

Dalam kajian, ia berdasarkan teknologi sedia ada GS Caltex dan bekalan stok makanan ternakan daripada BRR dengan sokongan kemudahan daripada AIM.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif AIM Mark Rozario, Naib Presiden Kanan juga Ketua Pusat Penyelidikan dan Pembangunan GS Caltex Dr Do Young Seung, Ketua Pegawai Eksekutif BRR Datuk Seri Paduka Aishah Mahmud dan Pengarah SPU Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Advertisement