Anda di sini

Chong Wei sah sertai empat Kejohanan Siri Super dan Premier

Advertisement
 Ahmad Kamarulzaman (kiri) menyempurnakan penganugerahan pangkat kepada Chong Wei pada majlis kenaikan pangkat dan penganugerahan pangkat (kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela TLDM di Markas Tentera Laut Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur semalam. Turut serta isterinya Datin Wong Mew Choo (kanan). — Gambar Bernama

TAHNIAH: Ahmad Kamarulzaman (kiri) menyempurnakan penganugerahan pangkat kepada Chong Wei pada majlis kenaikan pangkat dan penganugerahan pangkat (kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela TLDM di Markas Tentera Laut Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur semalam. Turut serta isterinya Datin Wong Mew Choo (kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei akan menyertai empat Kejohanan Siri Super dan Premier bagi mengukuhkan kedudukannya selaku pemain nombor satu dunia.

Empat kejohanan tersebut adalah Siri Super Premier Terbuka Denmark dari 18-23 Okt ini, Siri Super Terbuka Perancis (25-30 Okt), Siri Super Premier Terbuka China (15-20 Nov) dan Siri Super Terbuka Hong Kong dari 22 hingga 27 Nov ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu mengakui walaupun berdepan dengan jadual kejohanan yang padat, beliau yakin ia tidak akan menjejaskan sasarannya untuk meraih keputusan positif dalam empat kejohanan tersebut.

“Selepas menjuarai Siri Super Terbuka Jepun bulan lepas, saya tidak menyertai Siri Super Terbuka Korea dan balik ke tanah air untuk latihan intensif selama tiga minggu dan ia membantu saya untuk meningkatkan kecergasan.

“Dua pemain utama China, Lin Dan dan Chen Long dikatakan tidak menyertai Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis tapi bagi saya masih fokus kepada persiapan diri sendiri,” kata Chong Wei.

Dalam perkembangan sama, beliau tidak bimbang dengan kebangkitan ditunjukkan dua pemain muda China, Qiao Bin, 23, dan Shi Yuqi, 20, yang mengejutkan beberapa pemain ternama dunia dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Chong Wei, sebaliknya menegaskan kehadiran dua pemain berkenaan membakar semangatnya untuk meneruskan rentak cemerlang dalam mana-mana kejohanan disertainya.

Untuk rekod, Chong Wei menewaskan Qiao Bin 21-8, 21-16 pada pusingan kedua Terbuka Jepun sebelum menundukkan Shi Yuqi 21-12, 21-12 pada aksi suku akhir.

“Saya tahu saya kena berjaga- jaga apabila berdepan dua pemain ini kerana bagi saya tidak akan rugi apa-apa.. saya tak kisah sekiranya jumpa dua pemain ini (sekali lagi) kerana saya sudah melakukan persiapan rapi,” katanya.

Qian Bin mencipta kejutan selepas meraih gelaran sulung peringkat senior susulan kejayaan menjuarai Terbuka Korea menerusi kemenangan 21-11, 21-23 dan 21-7 ke atas pemain utama Korea Selatan, Son Wan Ho pada aksi final perseorangan lelaki, Ahad lepas.

Terdahulu, Chong Wei ditemui pemberita selepas majlis pemakaian pangkat kepada 41 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Simpanan Sukarelawan TLDM (PSSTLDM) di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Chong Wei daripada Leftenan Komander (Kehormat) PSSTLDM kepada Komander Kehormat di atas pencapaian cemerlang atlet berkenaan dalam sukan badminton. — Bernama

Advertisement