Anda di sini

Setiap agensi penguatkuasaan perlu memiliki lokap

Advertisement

KUCHING: Agensi-agensi penguatkuasaan seperti imigresen, maritim dan polis perlu memiliki lokap masing-masing sebagai tempat menahan tangkapan oleh mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Datuk Yaacob Md Sam berkata ia bagi menguruskan tahanan dengan lebih efisien sekali gus mengatasi masalah kesesakan di lokap.

“Terdapat lokap-lokap di Sarawak dan Sabah walaupun diwartakan tetapi tidak memperuntukkan had orang tahanan yang boleh ditahan di lokap atau sel lokap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Dialog Khas Meja Bulat EAIC bersama agensi penguatkuasaan Sarawak dan Sabah di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Menurut Yaacob, kesesakan lokap telah menjadi fenomena dan memberi implikasi negatif kepada tahanan.

Sebagai contoh, katanya di Sarawak telah berlaku kesesakan di lokap Balai Polis Miri di mana ia berlaku apabila terdapat tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh operasi imigresen.

Selain itu ialah IPD Lahad Datu di Sabah yang terletak dalam kawasan ESSCOM apabila telah memperlihatkan kadar kesesakan tahanan yang tinggi akibat daripada operasi oleh polis, maritim, kastam dan imigresen.

“Pada suatu ketika, terdapat 21 wanita di lokap IPD Lahad Datu yang ditempatkan di dalam satu sel sahaja dan sel tersebut tidak mempunyai tingkap menyebabkan keadaan panas dan berbau,” katanya.

Mendedahkan data kematian dalam tahanan pula, Yaacob berkata berlaku 242 kematian orang tahanan semasa berada dalam tahanan polis dari tahun 2000 hingga 2014.

Manakala, katanya bagi Sarawak terdapat tujuh kematian orang tahanan bagi tempoh yang sama dan Sabah merekodkan sembilan kematian.

“Kematian tersebut berlaku oleh pelbagai sebab dan sebahagian besar daripadanya adalah berpunca daripada masalah kesihatan yang dihadapi oleh orang kena tahan, akibat gantung diri di dalam lokap serta pergaduhan sesama tahanan.

“Selain itu, ada kejadian orang tahanan mati akibat tergelincir di bilik air dan berlaku empat kematian akibat dicederakan oleh polis,” katanya.

Advertisement