Anda di sini

Pemuda PBB gesa kerajaan luaskan pelaksanaan Tebatan Banjir Sibu

Advertisement
 Abdul Ghani (tiga kiri) memegang kenyataan daripada Pemuda PBB Sibu Zon 12 sambil disaksikan (dua dari kiri) Abang Fairul, Rafiq dan yang lain.

ISU BANJIR: Abdul Ghani (tiga kiri) memegang kenyataan daripada Pemuda PBB Sibu Zon 12 sambil disaksikan (dua dari kiri) Abang Fairul, Rafiq dan yang lain.

SIBU: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 12 menggesa kerajaan meluaskan pelaksanaan Tebatan Banjir Sibu fasa ketiga bernilai RM100 juta kepada lima kampung tradisional di sini.

Jurucakap kumpulan itu, Abdul Ghani Sulhi yang merupakan exco Pemuda PBB berkata kampung-kampung berkenaan ialah Kampung Jeriah, Seduan Jaya, Kampung Bahagia Jaya, Kampung Hijrah dan Kampung Usaha Jaya Baru Salim.

Katanya, kelima-lima kampung tersebut sering dinaiki air setiap tahun sehingga memberi kesukaran kepada penduduk kampung untuk menjalankan aktiviti harian termasuk mencari mata pencarian.

“Ini adalah permintaan munasabah kerana PBB berjuang untuk isu ini sekian lama dan kawasan-kawasan ini memberi 100 peratus sokongan kepada BN di setiap negeri dan Parlimen pada pilihan raya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Antara yang hadir ialah Ketua Penerangan Belia PBB Nangka Abang Fairul Syarmil, Naib Bendahari Belia PBB Nangka Abdul Hasraymi Abdul Raymond, Penolong Setiausaha PBB Zon 12 Rafiq Nur Adli Razali dan Ahli Jawatankuasa Belia PBB Nangka Abdul Rahim Abdul Rahman.

Memetik laman Facebook Datuk Dr Sim Kui Hian, kata-nya projek bernilai RM100 juta dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan merangkumi  Jalan Ek Dee sehingga Dataran Bandar Sibu namun tidak  menyatakan secara khusus projek itu dilaksanakan.

“Kami Pemuda PBB Zon 12 berharap projek ini yang dikendalikan Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi kerajaan berkaitan melibatkan kawasan kampung terjejas sejak dahulu.

“Masalah banjir menjejaskan rutin harian kehidupan penduduk kampung dan anak-anak mereka tidak dapat ke sekolah apabila banjir melanda,” katanya.

Ghani menegaskan bahawa masalah banjir berlaku di kelima-lima kampung itu kerana  air bertakung yang tidak meng-alir keluar dengan baik.

Dalam pada itu, PBB juga mengharapkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya memperuntukkan sebahagian bajet RM100 juta kepada lima kampung utama sebagai langkah pelaksanaan pengurangan banjir.

Beliau masih teringat membawa isu itu sejak tahun lalu dan bertemu dengan JPS dan MPS untuk susulan projek tersebut.

Sementara itu, Pemuda PBB Sibu Zon 12 terdiri cawangan belia dari Nangka, Bawang Assan, Dudong, Pelawan dan Bukit Assek.

Advertisement