Anda di sini

Kekal semangat perpaduan, kerjasama di rumah panjang

Advertisement

Oleh Ambrose Rirang//

 Tiong (tengah) bersama ahli JKKK dan Biro Wanita Rumah Dayong menyanyikan lagu sebelum memotong kek ulang tahun rumah panjang berkenaan.

ULANG TAHUN: Tiong (tengah) bersama ahli JKKK dan Biro Wanita Rumah Dayong menyanyikan lagu sebelum memotong kek ulang tahun rumah panjang berkenaan.

BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing menggesa penduduk rumah panjang agar mengekalkan semangat perpaduan dan kerjasama yang dipraktikkan oleh komuniti berkenaan sejak sekian lama.

Katanya hubungan baik penduduk rumah panjang memastikan keamanan serta kesejahteraan hidup kekal terpelihara sekali gus menjadikan sesebuah rumah panjang itu tempat tinggal selesa didiami.

“Setiap unit keluarga rumah panjang harus menekankan aspek toleransi serta saling menghormati bagi mengelak berlaku perselisihan faham, perpecahan dan sikap berpuak-puak,” katanya pada sambutan Ulang Tahun Ke-5 Rumah Dayong Sabot, Sungai Ipoh di KM60, Jalan Bintulu-Miri semalam.

Beliau berkata hubungan baik setiap penghuni rumah panjang sememamgnya mampu membina sebuah masyarakat kukuh sekali gus membolehkan segala dirancang untuk memajukan rumah panjang dapat dilaksanakan dengan pantas dan teratur.

“Apabila kita mempunyai semangat kerjasama baik dan memiliki semangat perpaduan tinggi maka kita dapat mencapai matlamat yang kita impikan pada masa depan,” jelas beliau.

Tiong turut menasihati tuai rumah sentiasa bertolak ansur dan bertoleransi menjalankan tugas menjaga penduduk masing-masing bagi mengelak berlakunya salah faham.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan pemikiran generasi hari ini telah berubah sehingga menyebabkan perpecahan rumah panjang ekoran perbezaan pendapat dan ideologi politik.

Tiong turut mengumumkan bantuan sejumlah RM10,000 kepada  Biro Wanita Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Dayong Sabot bagi membina stor rumah panjang dan RM15,000 lagi bagi mendirikan ‘fire wall’ untuk pencegahan kebakaran menjadikan RM25,000 semuanya.

Advertisement