Anda di sini

Bina rumah panjang mengikut konsep baharu

Advertisement

Oleh Mastura Ismail//

 Dr Abdul Rahman (empat kiri) menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa kebakaran sambil disaksikan Goh (tiga kiri), Dayang Maimunah (enam kiri) di Limbang kelmarin.

BANTU: Dr Abdul Rahman (empat kiri) menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa kebakaran sambil disaksikan Goh (tiga kiri), Dayang Maimunah (enam kiri) di Limbang kelmarin.

LIMBANG: Kerajaan mencadangkan supaya rumah-rumah panjang dibina berdasarkan konsep baharu, menggunakan bahan konkrit dan mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi membantu mengurangkan risiko berlaku kebakaran.

Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat Dr Abdul Rahman Ismail berkata pembinaan rumah panjang berasaskan konkrit dapat mengelak ia musnah sekiranya berlaku kebakaran.

Selain itu, rumah panjang perlu mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk pembinaan dinding penghadang api (fire wall) bagi mengelak kebakaran merebak dengan cepat.

“Kita perlu ada beberapa transformasi bagi mengelak berlaku kebakaran di rumah panjang termasuk mencadangkan supaya rumah panjang di negeri ini mengikuti reka bentuk baharu bagi mengelak sebarang kebakaran merebak menyebabkan seluruh rumah panjang terbakar,” katanya  ditemui ketika melawat rumah mangsa kebakaran di Taman Pertama Limbang semalam.

ADUN Bukit Kota itu berkata, setiap ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang perlu mewujudkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di setiap kawasan.

Katanya, penubuhan PBS dapat mempercepat kerja pemadaman sekiranya berlaku kebakaran dengan peralatan dan latihan serta kepakaran asas sebelum bomba tiba di lokasi.

“Penduduk rumah panjang dan orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan peka terhadap aspek keselamatan terutama menggunakan peralatan elektrik,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi RM500 masing-masing kepada dua keluarga yang terlibat dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Limbang Goh Yong Kiet berkata pelbagai sumbangan akan diserahkan kepada mangsa kebakaran Khamis ini.

Sumbangan itu termasuk wang tunai berjumlah RM250, makanan dan alat dapur diserahkan kepada dua keluarga terbabit, RM40 kepada 11 mangsa, RM70 sumbangan pakaian kepada 11 mangsa dan RM120 (sumbangan pakaian sekolah) diberikan kepada tiga anak-anak mangsa kebakaran.

Turut diserahkan kelmarin adalah barang makanan kepada 11 mangsa kebakaran.

Hadir sama isteri beliau, Dayang Maimunah Awang Mohamad Daud.

Advertisement