Anda di sini

Mussen cadang tanam Sacha Inchi di Lubok Antu

Advertisement
 Mussen, Nyalau dan Doris bersama ketua masyarakat dan wakil penerima Warta Seksyen 6 KTN bagi Kawasan Hulu Engkari di Lubok Antu semalam.

GEMBIRA: Mussen, Nyalau dan Doris bersama ketua masyarakat dan wakil penerima Warta Seksyen 6 KTN bagi Kawasan Hulu Engkari di Lubok Antu semalam.

Tumbuhan asal negara Latin kaya pelbagai khasiat, sesuai ditanam di tanah berbukit Hulu Engkari

Oleh Edwin Raoh //

LUBOK ANTU: Menteri Muda Pertanian, Malcom Mussen Lamoh mencadangkan penanaman Sacha Inchi atau nama saintifiknya ‘Plukenetia volubilis’ di Batang Ai terutamanya di Hulu Engkari Lubok Antu.

Menurutnya, Sacha Inchi merupakan tumbuhan berasal dari negara Latin dengan buah tumbuhannya kaya dengan khasiat seperti protein, minyak Omega 3, Omega 6, Omega 9, vitamin E, vitamin A dan serat.

Katanya, Sacha Inchi memberi banyak manfaat kepada manusia dari segi pemakanan dan banyak lagi serta sesuai ditanam di tanah berbukit.

“Menyedari nilai boleh diberi oleh tumbuhan tersebut di pasaran maka saya cadang menguji penanaman Sacha Inchi di Hulu Engkari.

“Saya akan memohon perbincangan dan persetujuan daripada penduduk tempatan terlebih dahulu sebelum melaksanakan ujian penanaman sebanyak 500 tumbuhan Sacha Inchi di kawasan terpilih di sini,” katanya pada Majlis Penyampaian Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) di bawah Inisiatif Baharu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi Kawasan Hulu Engkari, Lubok Antu di sini semalam.

Sementara itu, Mussen selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai menasihat rakyat agar tidak mudah terperdaya dengan dakyah pihak tertentu di media sosial mendakwa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mahu mengambil tanah NCR milik mereka.

“Saya memohon kepada penduduk agar merujuk dakwaan itu ke jabatan kerajaan bertanggungjawab mengendalikan pengurusan tanah NCR mereka sebelum mempercayai dakwaan palsu itu,” ujarnya.

Beliau juga berpesan agar menjaga dokumen tanah NCR masing-masing memandangkan adalah pusaka dan harta tidak ternilai dimiliki oleh keluarga mereka seumur hidup.

Pada majlis itu, sejumlah 9,287 hektar dari 11 lot tanah milik 15 buah rumah panjang di kawasan Hulu Engkari, Lubok Antu diwarta sebagai kawasan Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 KTN.

Turun hadir Ahli Parlimen Lubok Antu, Datuk William Nyalau Badak, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman Dorris Synia, ketua-ketua masyarakat dan kaum di sini.

Advertisement