Anda di sini

Ditipu RM22,000 setelah terima SMS palsu

Advertisement

Lelaki terperdaya buat transaksi kononnya bagi semakan data dan naik taraf dokumen

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Jangan melayan sistem pesanan ringkas (SMS), WhatsApp, WeChat dan sebagainya jika mempunyai unsur-unsur menakutkan sehingga mendesak anda membuat pembayaran dan akhirnya tertipu.

Jika anda enggan ditipu atau diperdayakan, cara terbaik untuk menangani pesanan yang tidak diundang ialah ‘abaikan sahaja.’

Dalam kejadian terkini, seorang lelaki berumur 20-an dipercayai kerugian RM22,000 selepas menerima satu SMS pada petang Khamis lalu.

Menurut laporan polis, mangsa menerima SMS daripada nombor tidak dikenali memaklumkan bahawa mangsa mempunyai hutang kad kredit tertunggak jam 6.27 petang.

Tanpa usul periksa mangsa dikatakan bertindak melakukan pemindahan wang seperti yang dinyatakan di atas ke dalam akaun bank suspek.

Mangsa dipercayai diarah melakukan transaksi itu oleh suspek kononnya bertujuan membolehkan semakan data dan naik taraf dokumen. Sebelum itu, suspek berjanji kepada mangsa bahawa semua wang yang dipindahkan ke dalam akaun suspek dimasukkan kembali ke dalam akaun mangsa setelah proses semakan itu selesai.

Kelibat suspek bagaimanapun terus lesap sebaik sahaja mangsa menekan butang ‘Enter’ pada mesin ATM selepas melakukan transaksi pemindahan wang tersebut.

Mangsa mula berasa curiga kerana tidak menerima sebarang maklum balas daripada suspek dan akhirnya menyedari beliau diperdayakan.

Lazimnya nasi sudah menjadi bubur atau sudah terlambat apabila mangsa tampil ke balai polis membuat laporan polis.

Hakikatnya mangsa memasukkan wang ke dalam akaun suspek untuk membayar hutang kad kredit sememangnya tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan satu laporan polis berhubung kes tersebut diterima.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana disyaki menipu,” katanya.

Sebagai peringatan orang ramai dinasihat mengabaikan sebarang pesanan tidak diundang atau meminta bayaran nescaya duit lebih selamat.

Advertisement