Anda di sini

Pemilik bot enggan kerjasama

Advertisement

KOTA KINABALU: Sikap pemilik bot yang enggan memberikan kerjasama kepada anggota keselamatan dipercayai menjadi punca utama kejadian culik dan rompakan bot di dua lokasi berasingan di perairan Sabah, Selasa lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata kedua-dua kejadian terbabit berlaku apabila pemilik bot tidak memasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) pada bot selain tidak menerima permit Perintah Berkurung.

Katanya melalui hasil siasatan awal yang dijalankan terhadap mangsa ataupun anak kapal dalam kedua-dua kejadian, pihaknya mendapati pemilik bot tidak memasang AIS pada bot untuk membolehkan pihak berkuasa mengesan kedudukan bot terbabit.

“Bot itu hanya mempunyai Sistem Pengesanan Global (GPS) dan Fish Finder yang tidak membantu kita untuk mengesan kedudukan bot terutamanya pergerakan mereka pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut mendapati bot mangsa bergerak tanpa mendapatkan permit Perintah Berkurung berikutan tidak menepati syarat yang ditetapkan agensi keselamatan.

“Pemilik bot membawa anak kapal yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah daripada Kerajaan Negeri menyebabkan pihak penjenayah dengan mudahnya menyerang bot di perairan terbuka.

“Kejadian yang berlaku secara pantas turut disebabkan oleh faktor lokasi mangsa yang menuju ke arah sempadan antarabangsa selain disebabkan keadaan laut yang gelap pada waktu malam,” katanya.

Sehubungan itu, Rashid memohon pemilik bot agar memberikan kerjasama padu kepada agensi keselamatan dengan mematuhi syarat serta undang-undang yang dikeluarkan bagi mengelakkan kejadian jenayah di kawasan perairan.

Katanya tindakan itu juga perlu bagi memastikan aktiviti perikanan dapat dijalankan secara aman tanpa diancam sebarang gangguan pihak penjenayah.

Kira-kira jam 12.05 tengah malam kelmarin, polis menerima dua laporan polis masing-masing kes culik membabitkan pemilik bot di perairan Semporna pada jam 9.30 malam dan rompakan bot di Lahad Datu kira-kira jam 10 malam Selasa lalu.

Bot yang dinaiki kumpulan penjenayah dilihat berwarna putih berjalur hijau dan kuning yang menggunakan dua unit enjin bot berkuasa tinggi 75HP sepanjang 24 kaki dan lima kaki lebar.

Enam penculik yang berpakaian biasa berbahasa Suluk Filipina memegang senjata M16, M14 dan pistol.

Rashid turut menasihatkan orang ramai agar menghubungi pihak berkuasa jika mengesan bot penjenayah di mana-mana agar tindakan selanjutnya dapat dilaksanakan.

Advertisement