Anda di sini

Rumah transit untuk bekas penghuni rumah kebajikan

Advertisement

KPWKM kaji sedia kemudahan tempat tinggal sementara

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang melakukan kajian bagi penubuhan rumah transit sebagai penempatan sementara kepada bekas penghuni rumah kebajikan yang sudah melepasi usia 18 tahun.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata rumah itu bertujuan memberi kemudahan tempat tinggal sementara kepada kesemua kumpulan sasar itu khususnya mereka yang langsung tiada keluarga dan tempat tinggal.

Beliau berkata kumpulan itu terpaksa meninggalkan rumah kebajikan berikutan kekangan undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang mentakrifkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas tidak dibenarkan menetap di rumah kebajikan.

“Apabila pusat transit itu ada, mereka ini terutama yang tiada tempat tinggal, tiada ibu bapa atau masih mempunyai adik-beradik di rumah kebajikan, boleh tinggal sementara di pusat berkenaan.

“Semasa cuti semester, mereka tiada tempat tinggal jadi mereka tidak tahu untuk pergi ke mana. Situasi itu amat bahaya untuk mereka tanpa tempat tinggal,” katanya selepas majlis penyampaian Anugerah Aspirasi Gemilang Penjagaan Kanak-Kanak Great Eastern Life di sini semalam.

Rohani berkata rumah-rumah kebajikan atau kuarters pekerja sedia ada di seluruh negara khususnya di Lembah Klang akan dinaik taraf dan dijadikan rumah transit.

Justeru, beliau turut mencadangkan agar kementerian dapat bekerjasama dengan mana-mana pihak swasta untuk menjayakan projek pusat transit, yang telahpun dilaksanakan di beberapa negara.

“Rumah-rumah kebajikan juga boleh menyediakan peluang pekerjaan sementara kepada bekas-bekas penghuni. Mereka boleh bekerja dan juga melihat adik masing-masing.

“Meskipun kementerian terikat dengan kekangan undang-undang, kita sentiasa mengambil berat terutama dalam aspek tempat perlindungan,” katanya.

Terdahulu, Rohani dalam ucapannya, berkata program aspirasi gemilang bimbingan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan syarikat Great Eastern Life memberi impak besar kepada peningkatan pelajar cemerlang di negara ini.

Katanya peningkatan membanggakan adalah pada 2015 sebanyak 197 ‘A’ berjaya dicatat daripada 439 pelajar di bawah JKM, berbanding 133 ‘A’ daripada 486 pelajar pada 2014 untuk keseluruhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Peningkatan 82 peratus itu boleh dirumuskan bahawa program bimbingan JKM dan Great Eastern Life dalam memupuk semangat pelajar-pelajar di bawah JKM ini amat berjaya,” katanya.

Mengikut rekod pada tahun lepas, sebanyak 1,845 penghuni yang tinggal di pusat kebajikan JKM, terpaksa meninggalkan premis berkenaan disebabkan sudah melepasi usia 18 tahun, melibatkan 905 lelaki dan 940 perempuan. — Bernama

Advertisement