Anda di sini

DBP bakal keluar edisi karya sastera sebagai bahan bacaan kanak-kanak

Advertisement
 Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Seri Prof Dr Md Salleh Yaapar (tiga kanan) beramah mesra bersama para tetamu dan pembentang kertas kerja pada SAKAT 2016 di Menara DBP di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

MENYEMAI MINAT MEMBACA: Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Seri Prof Dr Md Salleh Yaapar (tiga kanan) beramah mesra bersama para tetamu dan pembentang kertas kerja pada SAKAT 2016 di Menara DBP di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengeluarkan karya-karya sastera tempatan dalam edisi yang dipermudah bagi menambah bahan bacaan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP Dr Mohd Hanafi Ibrahim berkata langkah itu dapat menarik minat golongan berkenaan mendekati dan memahami nilai-nilai estetik pada karya sastera.

“Kita sekarang sedang mengusahakan edisi mempermudah karya Melayu sastera tradisional untuk bacaan kanak-kanak dan remaja.

“Melalui edisi yang dipermudahkan ini, secara tidak langsung golongan remaja dan kanak-kanak dapat mendekati karya sastera yang menjadi warisan mereka dan menimba pengalaman zaman lalu, yang telah membina kekuatan sesuatu bangsa dan sosial untuk dicintai dan dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Pengarah DBP Abdul Adzis Abas merasmikan Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) XII 2016 di DBP di sini, semalam.

Mohd Hanafi berkata seminar itu yang bertema ‘Falsafah Melayu/Indonesia dalam Karya Sastera Tradisional’ wajar diketengah kepada peminat sastera berikutan masyarakat kini yang kurang minat membaca karya sastera.

“Melalui seminar ini, kita dapat mencungkil keperibadian bangsa Melayu dari segi adab, etika dan akhlak yang menjadi langkah kekuatan sesebuah bangsa untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

SAKAT, yang berlangsung dua hari dan berakhir hari ini, merupakan satu daripada program Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang dianggotai oleh tiga negara anggota MASTERA iaitu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia. — Bernama

Advertisement