Anda di sini

SIDS membukukan resipi masakan tradisional Iban

Advertisement

Buku ‘Sarawak Kitchen Indigenous Flavours’ setebal 74 muka surat telah dilancarkan Uggah semalam

Oleh Agnes Tugong

 

KUCHING: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) melancarkan buku resipi ‘Sarawak Kitchen Indigenous Flavours’, khusus dalam masakan tradisional dan mengikut perisa asli masyarakat Dayak Iban di negeri ini.

Buku resipi yang menjadi satu lagi kebanggaan masyarakat Dayak terutama wanita Dayak ini telah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada satu majlis di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Berucap pada majlis itu, Uggah berkata buku resipi ini amat penting kepada kita semua dalam usaha memelihara dan mempromosikan makanan tradisional masyarakat Dayak ke peringkat antarabangsa.

“Saya berbangga apabila diberitahu oleh Pengerusi SIDS Tan Sri Empiang Jabu bahawa buku resipi ini telah diperkenalkan dan diuji rasa oleh cef terkemuka antarabangsa seperti Anthony Bourdain.

“Buku resipi ini bukan sahaja sebahagian daripada usaha kita untuk memelihara dan mempromosikan makanan Dayak tetapi pada masa yang sama ia akan membuka peluang perniagaan kepada penduduk tempatan dalam pengeluaran bahan-bahan masakan asli seperti dalam buku ini,” kata Uggah yang memuji usaha SIDS menghasilkan buku ini.

Tambah Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar, banyak bahan masakan seperti dalam buku resipi ini merupakan spesies yang sukar diperolehi seperti ‘Kulat Mata Babi’, daun tepus dan sebagainya.

Justeru katanya ia akan menjadi satu cabaran dalam penyediaan semua bahan untuk memperkenalkan resipi ini kepada masyarakat umum.

Tetapi katanya, masalah ini akan membuka peluang perniagaan kepada kita semua terutama masyarakat Dayak di kawasan luar bandar dalam penyediaan bahan-bahan asli masakan ini.

“Saya mencadangkan kepada SIDS untuk menyediakan bekalan bagi bahan-bahan masakan seperti dalam buku resipi ini termasuk juga memikirkan untuk menghasilkan pembungkusan rempah-rempah untuk pasaran seperti rempas ratus yang ada ketika ini.

“Selain itu saya juga mencadangkan kepada SIDS supaya memasarkan buku resipi ini secara atas talian untuk jangkauan pasaran yang lebih luas selain mempopularkan masakan Dayak di seluruh dunia,” katanya  yang turut meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada SIDS. Sementara itu, Empiang berkata buku itu mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan dan pelancarannya semalam merupakan permulaan kepada usaha SIDS untuk memelihara nilai serta keaslian masakan Dayak.

“Buku ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana kebanyakan daripada ahli SIDS merupakan suri rumah  dan wanita bekerja serta berkhidmat secara sukarela untuk persatuan ini.

“Kesulitan dari segi penggunaan bahasa untuk menterjemahkan nama-nama bahan kepada bahasa yang dapat difahami, menyukarkan lagi proses pembikinan buku ini termasuk dari segi pengumpulan bahan masakan bagi tujuan dokumentasi,” katanya.

Dalam pada itu buku ini dijual pada harga RM90 senaskhah bagi jenis kulit tebal (hardcover) dan RM60 senaskhah bagi kulit nipis (softcover) dan boleh didapati di ibu pejabat SIDS dengan menghubungi nombor di talian 082-454525.

Buku ini mengandungi 74 muka surat dan memaparkan pelbagai resipi masakan tradisional daripada beras, daging, ikan, sayuran dan kuih.

Turut hadir pada pelancaran buku itu semalam, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, beke Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta yang lain.

Advertisement