Anda di sini

Fatimah usul tiga resolusi pada Konvensyen Pendidikan Prasekolah

Advertisement

SIBU: Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah mengusulkan tiga resolusi pada akhir Konvensyen Pendidikan Prasekolah di sini semalam.

Usul pertama dibangkitkan beliau memohon peruntukan khas bagi membolehkan Kursus Khas Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris ke peringkat tertinggi kerajaan pusat.

“Usul kedua kita ingin kerajaan negeri membantu membekalkan bahan pengajaran dan pembelajaran sesuai atau menyediakan kemudahan supaya bahan-bahan tersebut dapat dihasilkan mengikut kesesuaian.

“Manakala ketiga kita memohon kerajaan negeri menyediakan peluang latihan di setiap daerah di Sarawak bagi menampung keperluan guru, pengasuh dan institusi asuhan, bimbingan atau didikan kerajaan dan swasta mendapat bimbingan dan khidmat sokongan profesional bagi meningkatkan kecekapan dan keterampilan mereka mengajar Bahasa Inggeris,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang hadir merasmikan majlis penutupan konvensyen itu meneliti usul ini sebagai usaha merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan bahasa Inggeris bahasa rasmi kedua di Sarawak.

Sementara itu, Abang Johari dalam ucapan penutupannya berkata beliau menyokong penuh resolusi yang dibangkitkan oleh Fatimah itu.

Katanya beliau bersama barisan kabinet berkaitan akan membawa resolusi permohonan peruntukan khas bagi membolehkan Kursus Khas Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris ke peringkat tertinggi kerajaan pusat.

Jelas beliau, langkah tersebut bagi membolehkan kursus itu dijalankan untuk guru-guru dan pengasuh taska serta tadika di seluruh negeri ini.

“Jika bajetnya tidak seberapa atau kerajaan pusat tidak beri, kita kerajaan negeri akan mempertimbangkannya bagi memberi latihan kepada guru-guru kita,” katanya.

Terdahulu, Fatimah berkata kerajaan negeri menerusi kementeriannya menyasarkan sebanyak 100 peratus daripada anggaran 123,000 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun menerima pendidikan awal kanak-kanak di institusi prasekolah yang berdaftar menjelang 2020.

Katanya daripada jumlah tersebut sebanyak 70 peratus akan ditempatkan di prasekolah kerajaan dan 30 peratus lagi oleh sektor swasta.

Tambahnya, kerajaan juga menyasarkan 15 peratus daripada anggaran 164,000 kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah menerima pendidikan awal di institusi prasekolah yang berdaftar pada 2020.

“Manakala baki 85 peratus akan dibimbing dan dijaga oleh ahli keluarga di rumah masing-masing.

“Ini adalah garis panduan berkesan diperlukan oleh keluarga terutama ibu bapa.

“Bagi tujuan tersebut, banyak lagi bengkel dengan agensi-agensi berkaitan,” jelasnya.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa kementeriannya bersama Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) membangunkan satu pelan induk dikenali sebagai Pelan Strategik Asuhan, Bimbingan dan Didikan Kanak-Kanak Sarawak Tahun 2016-2020.

“Penubuhan pelan induk tersebut bertujuan mengekalkan akses, kualiti dan ekuiti pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, MPAKS tampil dengan Buku Panduan Asuhan Kanak-Kanak Di Rumah bertujuan memberi maklumat dan panduan membantu ibu bapa mengasuh anak-anak mereka dengan berkesan sebelum dihantar ke institusi prasekolah yang berdaftar apabila mencapai umur empat tahun ke atas.

Konvensyen tersebut bermula dari 23 hingga 25 September disertai seramai 580 peserta kalangan guru prasekolah dari seluruh Sarawak.

Hadir sama Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat Dr Abdul Rahman Ismail dan Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak Datu Dr Adi Badiozaman Tuah.

Advertisement