Anda di sini

Kota Samarahan bandar raya masa depan

Advertisement

Naik taraf jadi majlis perbandaran bukti kawasan pesat membangun: Abdul Karim

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Kota Samarahan dijangka menjadi sebuah bandar raya pada masa hadapan ekoran pembangunan pesat sedang dilaksanakan di bahagian tersebut.

Malah, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pertambahan polulasi penduduk di kawasan itu meningkat dengan drastik menjadikan ia lokasi strategik untuk didiami.

Menurutnya lagi, pada 11 November tahun ini Majlis Daerah Samarahan akan dinaik taraf ke Majlis Perbandaran Samarahan dan menunjukkan kawasan itu kian pesat membangun.

“Kalau dahulu kita tidak terfikir di sini akan mempunyai kawasan perumahan banyak dan bangunan melebihi 10 tingkat serta jalan persisir baik menghubungkan Kota Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan dan kawasan lain.

“Begitulah pesatnya pembangunan di sini dalam tempoh singkat menunjukkan kawasan ini akan terus membangun menjadi bandar besar seterusnya menjadi bandar raya suatu hari kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian ‘Samarahan Bike Fest’ Kelima anjuran Kelab Sukan Rekreasi Motosikal Berkuasa Tinggi Kota Samarahan (Tegar) di pekarangan tempat letak kereta, Aiman Mall, Kota Samarahan dekat sini semalam.

Sehubungan itu, Abdul Karim yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan menggesa rakyat khususnya di Kota Samarahan mengambil peluang meningkatkan sumber pendapatan menerusi pembangunan yang dibawa di situ.

Mengenai festival itu, Abdul Karim menasihati peserta Samarahan Bike Fest 2016 sentiasa menitikberatkan keselamatan ketika di jalan raya.

“Ini ekoran semalam (kelmarin) kita dikejutkan dengan berita menyedih yang menimpa dua peserta iaitu mendiang Presiden Miri Riders Motor Club Nelson Robert dan Federick Jamit Bunga dari Kelab Motosikal LCCS Sibu yang meninggal dunia akibat kemalangan.

“Oleh itu, saya amat berharap agar semua peserta tidak mengabaikan keselamatan diri ketika menunggang motosikal nanti dan tungganglah dengan penuh etika dan cermat,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi Penganjur Afiq Fikri Ibrahim berkata, festival kali ini berjaya menarik 60,000 pengunjung dengan 90 kelab motosikal tempatan termasuk dari Brunei, Indonesia, Sabah, Labuan serta Kuala Lumpur.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada ahli jawatankuasa penganjut, peserta dan orang ramai yang datang menjayakan Samarahan Bike Fest ini,” katanya.

Hadir sama Residen Samarahan Abdul Rahman Sebli Sanusi dan tetamu kehormat lain.

Advertisement