Anda di sini

Kempunan bebas

Advertisement
 Lapan suspek kes curi motosikal dibawa masuk semula ke lokap Balai Polis Sentral pagi semalam.

BALIK LOKAP: Lapan suspek kes curi motosikal dibawa masuk semula ke lokap Balai Polis Sentral pagi semalam.

SIBU: Lapan suspek lelaki yang ditahan polis minggu lepas kerana disyaki terlibat dalam kes jenayah curi motosikal kempunan bebas apabila mereka ditangkap semula pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Martin Koo ketika dihubungi memberitahu kesemua suspek ditangkap semula pagi semalam selepas tempoh tahanan reman kesemua mereka berakhir.

Katanya, suspek-suspek tersebut dipercayai terlibat melakukan sekurang-kurangnya 18 kes jenayah curi motosikal di sekitar bandar ini.

“Suspek-suspek dipercayai terlibat dalam sebanyak 18 kes di Sibu dan proses siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya.

Difahamkan, motosikal yang dicuri dijual kepada individu berminat pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

Jika motosikal yang dicuri itu berada dalam keadaan baik, maka ia akan dijual terus kepada pembeli, manakala motosikal yang kurang sempurna akan dilerai untuk mendapatkan alat-alat ganti dan dijual secara berasingan.

Lazimnya, pencuri motosikal akan membuang rangka motosikal yang tidak diguna ke dalam semak, parit dan di kawasan terlindung.

Difahamkan, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah di sini juga sedang giat mencari petunjuk dan maklumat dalam penyiasatan mereka.

Minggu lepas, polis juga telah menerima maklumat bahawa terdapat rangka motosikal di sebuah parit di kawasan Sibu Jaya.

Namun, mereka gagal menjumpai sebarang rangka motosikal seperti yang didakwa apabila mereka pergi ke lokasi berkenaan.

Kesemua suspek tersebut dijangka akan direman semula untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Advertisement