Anda di sini

Bank Rakyat anjur Karnival Mini Kelab Nuri hargai sokongan warga Kuching

Advertisement

KUCHING: Bank Rakyat menganjur Karnival Mini Kelab Nuri bertempat di pekarangan Stadium Negeri Sarawak, di sini semalam.

Bermula seawal jam 9.30 pagi dan berakhir pada 5 petang, karnival mini itu julung kali diadakan di sini sebagai salah satu inisiatif Bank Rakyat dalam mempromosikan Kelab Nuri dalam kalangan kanak-kanak dan ibu bapa di seluruh Sarawak.

Menurut Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasi Nizam Sani, karnival tersebut juga sempena sambutan ulang tahun ke-62 Bank Rakyat selain sebagai usaha mendekati dan menghargai masyarakat di bandar raya ini yang telah menunjukkan sokongan padu kepada Bank Rakyat.

“Bukan itu sahaja, Bank Rakyat melihat karnival mini ini sebagai platform terbaik untuk menarik lebih ramai kanak-kanak menjadi ahli Kelab Nuri dan pada masa sama mendidik mereka menabung pada peringkat usia muda,” katanya.

Aktiviti utama yang diadakan semalam ialah Program Pecah Tabung untuk kanak-kanak berusia dari empat hingga 12 tahun dengan lima jumlah tabungan tertinggi berpeluang memenangi baucar Akaun Simpanan-i Nuri bernilai RM1,000, RM500, RM400, RM300 dan RM200.

Pemenang pertama bagi Program Pecah Tabung tersebut dimenangi Muadz Qhairu Mohammad, diikuti tempat kedua iaitu Mohd Ramadan Abdullah, Huda Liyana Zulkifli (tempat ketiga), Angelina Tan Siew Chiew (tempat keempat) dan Nora Jafar (tempat kelima).

Di samping itu, turut diadakan Pertandingan Mewarna Nuri bagi tiga kategori iaitu Kategori A (tujuh hingga sembilan tahun), Kategori B (10 hingga 12 tahun) serta Kategori Prasekolah (empat hingga enam tahun).

Antara lain, turut diadakan ialah aktiviti berkonsepkan kekeluargaan sebagai tarikan pengunjung termasuk permainan dan sukan rekreasi untuk seisi keluarga, pertandingan memasak, pertandingan mewarna bagi dewasa, ‘Giant Jigsaw Puzzle’ serta cabutan bertuah.

Turut hadir pada karnival mini itu ialah Ketua Wilayah 9 Sarawak Mohd Salleh Talib.

Advertisement