Anda di sini

AWAS adakan demonstrasi aman bantah penubuhan Galeri Brooke

Advertisement

KUCHING: Anak Warisan Sarawak (AWAS) mengadakan demonstrasi di pekarangan Kubu Margherita di sini semalam sebagai membantah penubuhan Galeri Brooke di kubu bersejarah tersebut.

Selain membantah penubuhan galeri tersebut, demonstrasi secara aman itu turut diadakan sebagai memboikot penganjuran majlis pembukaan rasmi galeri oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Ketua Pergerakan AWAS Yusuf Jaili yang mengetuai demonstrasi itu berkata, AWAS yang terdiri daripada pelbagai persatuan dan individu membantah sekeras-kerasnya pembinaan galeri tersebut sebagai mengagung-agungkan legasi Brooke yang telah menjajah negeri ini.

Malah, AWAS turut menyifatkan Brooke sebagai pembunuh ribuan rakyat Sarawak dan memusnahkan perkampungan serta rumah panjang tanpa perikemanusiaan selama hampir 100 tahun memerintah negeri ini.

“Belum pernah ada negeri atau negara di dunia ini yang membina galeri untuk penjajah mereka seperti Galeri Brooke di Kubu Margherita ini.

“AWAS mewakili pelbagai persatuan, kesatuan dan individu sukarelawan membantah keras penubuhan Galeri Brooke dan menggesa kerajaan negeri dan Pengarah Brooke Trust, Jason Brooke yang merupakan cucu Rajah Brooke terakhir menghapuskan galeri ini,” katanya.

 

Pada demonstrasi itu, AWAS turut menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan sebelum berlangsungnya majlis pembukaan rasmi Galeri Brooke.

Abang Johari yang ditemui selepas majlis tersebut menghormati suara AWAS membantah penubuhan galeri tersebut yang menurutnya disalah anggap oleh mereka sebagai mengagung-agungkan Brooke.

“Galeri ini diwujudkan bukan untuk mengagung-agungkan Brooke tetapi ia hanya merupakan sejarah yang mahu kita kongsikan kepada orang ramai.

“Sejarah tetap sejarah dan ia tidak dapat dipadamkan dari rekod kita, tetapi sama ada nilai sejarah itu benar atau tidak, itu saya serahkan kepada ahli sejarah dan akademik untuk penilaian,” katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang turut berada di lokasi demonstrasi semalam turut menghormati suara AWAS membantah galeri tersebut meskipun sedikit sebanyak telah mencalarkan majlis itu semalam.

“Ini semua adalah sebahagian daripada sejarah dan kita tidak boleh menghalang mereka daripada mengadakan demonstrasi ini, meskipun ia sedikit sebanyak menjejaskan majlis kita pada hari ini (semalam),” katanya.

Advertisement