Anda di sini

Pembangkang tiada calon PM dipandang layak: KUASA

Advertisement

Berkemungkinan besar akan hilang undi di Perak dan S’gor

KUALA LUMPUR: Pembangkang gagal untuk menampilkan calon Melayu yang dipandang layak untuk menjadi perdana menteri, kata sebuah badan pemerhati politik dan pertubuhan bukan kerajaan, KUASA.

Ketua Eksekutif KUASA, Praba Ganesan berkata akibat ketiadaan calon itu, pembangkang berkemungkinan besar akan kehilangan undi di Perak dan Selangor.

Kesimpulan ini berasaskan kaji selidik yang dijalankan KUASA pada Ogos melibatkan lebih 1,200 orang di Selangor dan Perak, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Praba berkata: “Pembangkang tidak ada orang yang mempunyai kredibiliti untuk dicalonkan sebagai perdana menteri. Isu ini sa-ngat penting dalam kalangan pengundi.

“Beberapa kawasan yang diramalkan kehilangan undi berkaitan isu ini ialah Kota Damansara, Dusun Tua dan Bangi di Selangor.”

“Melihat kepada perkembangan semasa, PAS kini tidak sehaluan dengan PKR. PAS boleh mendakwa bahawa polisi yang dilaksanakan PKR terhadap orang Islam tidak bagus, maka ia pasti memberi kesan ketara di kawasan yang mempunyai penyokong besar PAS seperti Sepang, Dengkil dan Tanjung Sepat di Selangor.

“Di Perak, situasinya ada-lah sama kerana masyarakat Melayu di negeri itu akan memberi perhatian terhadap calon pemimpin daripada kalangan Melayu.

“Justeru, DAP mungkin tidak akan berjaya meyakinkan pengundi Melayu di Perak kerana Parti Amanah Negara dan PKR pasti menghadapi kesukaran mendapat undian orang Melayu untuk melawan UMNO dalam pilihan raya kelak tanpa jalinan kerjasama dengan PAS,” kata Praba.

Beliau berkata Perdana Menteri Malaysia mestilah seorang Melayu yang beragama Islam walaupun tiada undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang orang bukan Melayu menjawat jawatan itu.

Mengenai kaji selidik dijalankan KUASA selama 14 hari itu, Praba berkata ia membabitkan 1,287 respon-den – 885 daripada mereka Melayu, 205 Cina, 162 India dan 35 bangsa lain.

“Tinjauan mendapati majoriti responden memberi keutamaan tinggi terhadap calon Melayu sebagai perdana menteri. Selain itu, KUASA mendapati pembangkang gagal menyelesaikan isu-isu semasa dengan berkesan,” katanya.

KUASA mendapati pembangkang bukan sahaja gagal menyelesaikan isu semasa tetapi mengamalkan budaya menuding jari dan me-nyalahkan sesama mereka, katanya. — Bernama

Advertisement