Anda di sini

Lapor kes penderaan, bukan muat naik di laman sosial

Advertisement

Viral di media sosial akan memberi tekanan kepada mangsa

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penderaan kanak-kanak perlu melaporkannya ke saluran yang betul, bukannya memuat naik kes itu di laman sosial.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, tindakan memuat naik di laman sosial yang kemudiannya menjadi viral, boleh menimbulkan tekanan yang tidak sepatutnya kepada mangsa.

“Kes penderaan boleh terus dilaporkan pada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) atau PDRM (Polis Diraja Malaysia).

“Jangan viralkan sebaliknya laporkan ke saluran yang betul, viral di media sosial akan beri tekanan kepada mangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kanak-Kanak (ABBA: Always Beware and Be Aware), di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai kecenderungan netizen menyebarkan kes-kes penderaan di laman sosial berbanding bertindak melaporkan terus kepada pihak berkuasa.

Chew berkata mangsa penderaan perlu dilindungi maruahnya dan memerlukan penjagaan psikologi, justeru tindakan mendedahkan mangsa ke laman sosial hanya akan mengakibatkan keadaan menjadi lebih teruk.

Mengulas dakwaan orang ramai mengenai talian Nur yang tidak mesra pengguna dan hanya boleh membuat laporan dalam bahasa Melayu, Chew menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas.

“Sejak dilancarkan talian Nur menggunakan empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Cina,” katanya.

Terdahulu, Chew ketika berucap merasmikan seminar itu berkata kementeriaan memandang serius ancaman dunia siber terhadap kanak-kanak dan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Dunia Siber yang diwujudkan tahun lalu adalah antara usaha memastikan mereka mendapat perlindungan daripada ancaman itu.

“Pelan ini menetapkan empat aspek utama iaitu advokasi, pencegahan, intervensi dan khidmat sokongan,” katanya.

Chew berkata JKM turut mengadakan Kempen Keselamatan Sahabat B.I.J.A.K ‘Safe & Protect’ yang merupakan kerjasama dengan PDRM, Jabatan Pendidikan, Agensi Antidadah Kebangsaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan lain-lain. — Bernama

Advertisement