Anda di sini

KPDNKK perlu tegas banteras penjualan alat ganti tiruan

Advertisement

Terdapat premis di Miri tidak bertanggungjawab menjual alat ganti tiruan yang menyerupai alat ganti tulen

// Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) digesa mengambil tindakan tegas terhadap premis perniagaan alat ganti kereta yang didapati menjual alat ganti tiruan menyerupai alat ganti tulen.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon berkata beliau menerima beberapa aduan daripada orang awam terdapat premis di sini tidak bertanggungjawab menjual alat ganti tiruan.

“Pemasangan alat gantian tiruan bukan hanya menipu pelanggan malah amat berbahaya kepada pengguna kenderaan.

“KPDNKK wajar mengadakan pemeriksaan di premis-premis perniagaan alat ganti kenderaan dari semasa ke semasa bagi memastikan penjualan barang tiruan itu tidak berleluasa,” katanya di sini semalam.

Seorang pesara, Lajim Hasan, 57, berkata penjualan alat ganti tiruan semakin meningkat kerana jauh lebih murah berbanding alat ganti tulen yang mahal.

Menurut Lajim, beliau pernah membeli alat brek daripada penjual alat ganti tempatan namun hanya dapat digunakan selama dua minggu.

“Baharu saya tahu alat ganti tersebut bukan tulen. Kebanyakan mangsa penipuan adalah golongan tidak mempunyai pengetahuan terhadap alat ganti tulen dan cenderung membeli yang tiruan,” katanya.

Antara alat gantian tiruan kerap dijual ialah palam pencucuh, kit gasket, pad brek, pengecas turbo, gelang omboh dan ‘alternator’.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong ketika dihubungi berkata kementeriannya akan meneliti perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya.

Advertisement