Anda di sini

Kekalkan keaslian pekan kecil Siniawan

Advertisement
 Liew (empat kanan) menyampaikan cenderamata kepada Dr Sim (lima kiri) sebagai tanda penghargaan kepada beliau kelmarin.

PENGHARGAAN: Liew (empat kanan) menyampaikan cenderamata kepada Dr Sim (lima kiri) sebagai tanda penghargaan kepada beliau kelmarin.

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian mahu pekan kecil Siniawan, Bau mengekalkan keasliannya tanpa mengubah pekan tersebut menjadi terlalu moden seperti bandar di Singapura.

Menurut Dr Sim yang mewakili Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan terdapat keunikan dalam pekan itu sendiri walaupun telah lama wujud tetapi berupaya membangkitkan rasa nostalgik kepada pengunjungnya.

“Siniawan memerlukan lebih banyak kemudahan supaya dapat berkembang dalam tempoh lima tahun lagi dari sekarang.

“Saya mencadangkan supaya kita mulakan dengan meletakkan papan tanda yang agak besar untuk pekan ini selain meletakkan lampu di sepanjang sungai dengan peruntukan sebanyak RM20,000.

“Sepanjang sungai di sini pula memerlukan tebingan, kamera litar tertutup (CCTV) selain membangunkan inap desa, pekan ini akan menjadi pekan contoh,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Pesta Siniawan di sini kelmarin.

Bahkan beliau turut memberi cadangan agar para peniaga dan penjaja di pekan itu membeli lebih banyak saluran rancangan berbahasa Cina bagi kemudahan pelanggan mereka.

Dr Sim turut berpendapat bahawa sebuah muzium Cina ‘Warrior Legend from China’ perlu dibina untuk seorang pahlawan Perang Dunia Kedua (WWII) dari negara China yang masih menetap di pekan tersebut.

“Legenda pahlawan Perang Dunia Kedua dari China pada zaman komunis dahulu masih hidup.

“Beliau  juga masih mendapat wang persaraan daripada Kerajaan China walaupun menetap di sini. Ini dapat kita lakukan dengan kerjasama daripada kerajaan negara tersebut dan Konsulat China di sini,” ujarnya.

Tambahnya, beliau berbangga dengan pencapaian yang dilakukan oleh JKKK Pekan Siniawan bersama para peniaga dalam menghidupkan semula pekan yang hampir hilang itu.

Usaha tersebut katanya, berupaya mewujudkan peluang perniagaan, ia juga memberi peluang pekerjaan kepada penduduk daripada kalangan golongan muda.

Dr Sim turut mengutarakan agar JKKK Siniawan mengadakan Pokemon Stop dan Pokemon Gym di pekan itu tanpa terlalu memodenkannya bagi menjana pendapatan.

Kempen kesedaran menghapuskan pembiakan aedes juga perlu dilaksanakan secara mapan dan dengan keyakinan dalam lima tahun lagi anda akan menjadi lebih maju lagi, jelasnya.

Sementara itu, Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh yang mewakili Ahli Parlimen Mambong Datuk Seri Dr James Dawos Mamit berkata mulai tahun depan pihaknya berharap untuk meletakkan acara tersebut dalam aktiviti kalendar pelancongan negeri.

Tetapi buat masa ini, pihaknya sedang dalam usaha membuat laporan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk mendapat peruntukan bagi melaksanakan pesta tersebut setiap tahun.

Turut hadir Pemanca Masyarakat Cina Daerah Bau Bong Jong Long dan pengerusi penganjur Pesta Siniawan Kapitan Liew Jiu Fung.

Advertisement